Teki-teki mengenai pengendali baharu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sudah pun terjawab selepas kekosongan yang ditinggalkan oleh Brad Maloney itu akan diisi oleh E. Elavarasan.

Perkembangan terkini mengenai pelantikan jurulatih berusia 60 tahun itu telah diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.

Difahamkan, Elavarasan akan dibantu oleh Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong jurulatih, Kris Yong jurulatih penjaga gol dan dua jurulatih dari Korea Selatan iaitu Park Jihyeon dan Lee Jeyoon.

Mahu Selaras Dengan Skuad Senior, FAM Bincang Dengan Kim Pan-gon Berhubung Pengganti Maloney

Satu kombinasi yang pastinya menarik untuk disaksikan dalam usaha memulihkan kembali kemampuan skuad B-23 negara selepas aksi kurang meyakinkan di Sukan SEA dan Kejuaraan AFC 2022 tempoh hari sekali gus menjurus kepada pemecatan Maloney.

Pemilihan Elavarasan dilihat bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana sebelum ini Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi pernah mendedahkan bahawa skuad B-23 perlu selaras dengan keperluan skuad senior.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Hal ini kerana seperti sedia maklum, Elavarasan merupakan pembantu kepada Kim Pan-gon ketika bersama skuad senior kebangsaan dimana aspek tersebut pasti diambil kira dalam pelantikan ini.

Kesinambungan daripada aspek pemahaman taktikal serta kaedah sesi latihan dan sebagainya amat diperlukan kerana terdapat pemain B-23 juga akan turut dipanggil membarisi skuad senior.

Sehubungan dengan itu, persefahaman yang utuh amat diperlukan dalam membentuk hubungan erat melibatkan kedua-dua pengendali pasukan.