Darwin Nunez rasminya diumumkan sebagai pemain baharu pasukan Liverpool.

Saga perpindahan Nunez bermula apabila Sadio Mane menyatakan bahawa beliau mahu mencari cabaran baharu di tempat lain.

Nunez menjadi calon terbaik menggantikan Mane, berdasarkan kualiti dan juga usianya yang masih muda.

Nunez dibawa masuk dari Benfica dengan harga €75 juta dengan bayaran tambahan €25 juta dalam bentuk bonus.

Liverpool turut memberikan kontrak jangka panjang kepada Nunez selama enam tahun.

Nunez juga diberikan nombor jersi 27 di Liverpool yang ditinggalkan oleh Divock Origi.

Nunez mengakui sangat gembira selepas menyertai The Reds.

Penyerang berusia 22 tahun itu turut menyatakan bahawa dia bersemangat menyertai Liverpool kerana ianya sebuah kelab yang besar.

Beliau juga mahu memenangi banyak trofi bersama Liverpool mulai musim depan. Selain itu Nunez yakin Liverpool menepati corak permainannya.

“Sangat bagus berada di sini di Liverpool dan saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada kelab hebat ini, di sini mereka sesuai dengan gaya permainan saya,” kata Nunez kepada laman rasmi Liverpool.

“Saya di sini kerana saya mahu memenangi banyak trofi bersama Liverpool, sebab itu saya mahu menyertai kelab ini. Itu bagus.”

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, mengakui sangat gembira dengan kedatangan Nunez.

Klopp berkata: “Darwin, berita hebat. Saya sangat berterima kasih kepada semua orang di kelab untuk menjayakannya. Kami telah menunjukkan ketegasan, cita-cita kami.”

“Kami mempunyai pilihan serangan yang luar biasa. Jadi tiada tekanan ke atasnya langsung.”

“Dia menandatangani kontrak untuk masa yang sangat lama dan kami berhasrat untuk mengembangkan bakatnya,” tambah pengendali dari Jerman itu lagi.

Liverpool terpaksa berdepan dengan persaingan daripada Manchester United untuk mendapatkan Nunez.

Namun Liverpool memiliki kelebihan selepas pemain itu menyatakan bahawa dia mahu bermain di Liga Juara Juara Eropah.

Nunez merupakan pemain yang meningkat naik mendadak dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Dia menjadi perhatian banyak kelab besar lain. Namun Benfica menyatakan bahawa mereka hanya akan menjual pemain itu dengan harga yang tepat sahaja.