Kelab Bola Sepak Penang (PFC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu, Zaw Min Tun bagi mengisi kuota ASEAN bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Pemain berusia 30 tahun dari Myanmar itu cukup berpengalaman dan beraksi bersama Chonburi FC dalam saingan Liga 1 Thailand pada musim 2022. Sebelum ini beliau menyertai dua lagi kelab Thailand, Sukothai dan Trat FC.

Malah, Zaw Min Tun memiliki susuk fizikal yang solid dan berketinggian 185 cm. Kelebihan tersebut bakal dimanfaatkan oleh Penang untuk membentuk benteng pertahanan yang ampuh.

Beliau dijangka akan berganding dengan pemain baharu kacukan Malaysia-Jepun, Ryu Yamaguchi di bahagian pertahanan tengah.

Selain itu, pemain tersebut juga mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa dan telah mengumpulkan 75 kaps bersama skuad kebangsaan Myanmar.

Zaw juga merupakan kapten skuad senior Myanmar. Dia telah memenangi pingat gangsa bersama Myanmar pada Sukan SEA 2011. Pada 14 Disember 2012, beliau meninggalkan Magway untuk menandatangani perjanjian 3 tahun dengan Yadanarbon untuk rekod Burma 120 juta Kyats.

Dia juga diiktiraf sebagai naib juara pertama Anugerah Pemain Terbaik MNL 2013. Dianggap sebagai salah satu pertahanan terbaik di ASEAN, dan juga menerima pujian atas keupayaan hantaran dan juga kebolehan menjaringkan gol.

Zaw Min Tun merupakan pemain ketiga dari Myanmar beraksi dalam Liga Malaysia pada era terkini selain Aung Kung Mann dari Sri Pahang pada musim 2021 dan Hein Htet Aung yang kini bersama Selangor.

Bekas kapten skuad Myanmar bawah 23 tahun, Kyaw Zayar Win pernah menyarung jersi Perak pada musim 2013. Malah, pada era 90 an dahulu, Perak pernah menandatangani dua pemain terbaik dari Myanmar iaitu Kyi Liwin dan Aung Naing.