Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich secara rasminya telah mengumumkan pelantikan Thomas Tuchel bagi menggantikan pengurus sebelum ini, Julian Nagelsmann.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang Bayern Munich, Thomas Tuchel akan memulakan tugasan rasminya pada Isnin selepas bersetuju untuk memeterai kontrak selama dua tahun.

Pemecatan Nagelsmann boleh dianggap sebagai satu keputusan yang mengejutkan oleh pengurusan tertinggi pasukan kerana kehadiran pengendali berusia 35 tahun itu pada musim 2021/22 dilihat seperti membawa agenda bagi perancangan jangka masa panjang.

Namun, dengan prestasi pasukan yang dilihat menunjukkan penurunan dengan tujuh keputusan seri dan tiga kekalahan dialami setakat ini sehingga menyaksikan Bayern Munich berada di tangga kedua Bundesliga, ketinggalan satu mata di belakang musuh tradisi, Borussia Dortmund.

Keadaan itu mungkin memberikan alasan kukuh buat Oliver Kahn (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Pengarah Sukan, Hassan Salihamidzic untuk mengambil keputusan drastik ini.

Turut dilaporkan bahawa pembamtu Nagelsmann dalam pasukan iaitu Dino Topmoller, Benjamin Gluck dan Xaver Zembrod turut dilepaskan.

“FC Bayern Munich telah melepaskan ketua jurulatih, Julian Nagelsmann,” ujar kenyataan di laman sesawang rasmi kelab Bavaria itu.

“Keputusan ini telah diambil oleh CEO, Oliver Kahn dan Pengarah Sukan, Hassan Salihamidzic dengan rundingan bersama Presiden kelab, Herbert Hainer.”

“Nagelsmann akan digantikan dengan Thomas Tuchel. Tuchel menerima kontrak sehingga 30 Jun 2025 dan akan mula menyertai latihan buat pertama kali pada Isnin nanti.”

Tuchel yang juga merupakan anak kelahiran Jerman hadir dengan reputasi hebat dalam membimbing kelab ternama dunia seperti Chelsea, Paris Saint-Germain (PSG) dan Borussia Dortmund.

Bersama Chelsea, beliau telah membimbing kelab tersebut menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 dimana kejayaan itu hadir hanya beberapa bulan selepas beliau tiba di kelab London tersebut.

 

 

 

Sumber