Baddrol Bakhtiar akhirnya sah meninggalkan Kedah untuk bergelar pemain baharu Sabah selepas kelab tangga kesembilan Liga Super Malaysia 2021 itu baharu sahaja mengumumkan kehadiran pemain tengah berpengalaman tersebut.

Perkembangan terbaharu yang diumumkan laman Facebook rasmi Sabah FC tersebut menyaksikan jodoh Baddrol bersama Kedah yang bersemi sejak tahun 2005 kini sudah pun berakhir.

Fasa baharu dalam karier Baddrol dimana ia juga merupakan pertama kali beliau meninggalkan Kedah itu menemukannya kembali dengan bekas pengendali skuad bawah 23 tahun negara yang menjuarai Sukan SEA 2011, Datuk Ong Kim Swee.

Sekiranya melihatkan kepada aksi yang dipamerkan Baddrol pada musim ini sehingga beliau dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan, ia seharusnya menjadi tambahan cukup berguna buat Sabah bagi menghadapi kempen 2022.

Malah, beliau juga merupakan penjaring terbanyak bagi pemain tempatan pada musim ini dalam saingan Liga Super selepas meledakkan tujuh jaringan.

Pada usia 33 tahun, Baddrol telah memenangi kesemua trofi yang dipertandinkan dalam kancah bola sepak Malaysia apabila beliau mengecap nikmat sebanyak dua kali dalam menjulang Liga Super [2006/07 dan 2007/08].

Apatah lagi beliau juga merupakan antara tonggak Kedah ketika memenangi kejuaraan ‘double treble’ ketika dibawah kendalian Mohd Azraai Khor Bin Abdullah.

Selepas berjaya mendapatkan khidmat pemain skuad kebangsaan itu, Sabah juga dikatakan berminat untuk membawa masuk beberapa rakan sepasukan Baddrol Bakhtiar dalam skuad Sukan SEA 2011 antaranya Khairul Fahmi Che Mat.

Selain itu, seorang lagi tonggak utama Kedah, Rizal Ghazali juga dikatakan mengikut jejak kaptennya itu untuk ‘terbang’ ke Sabah.