Amirul Azhan Aznan sah menjadi rekrut baharu Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) selepas laman Facebook rasmi kelab tersebut mengumumkan kehadiran pemain bek kanan itu, sebentar tadi.

Khidmat Amirul Azhan pastinya ditagih Kedah dalam mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak utama sebelum ini, Rizal Ghazali yang memilih untuk menyertai Sabah bagi menghadapi musim 2022.

Azhan dilihat sebagai pengganti yang tepat buat Rizal apabila beliau hadir ke Stadium Darul Aman dengan reputasi baik.

Mula beraksi dengan skuad Liga Super Perak pada tahun 2016, posisinya selaku bek kanan jelas sukar digugat pemain lain dan beliau sentiasa memberikan sumbangan berkesan sehingga berjaya membantu pasukan menjulang trofi Piala Malaysia 2018 dan bergelar najb juara Piala FA 2019.

Namun seperti diketahui, bencana besar yang tanpa disangka-sangka melanda kem Perak pada musim ini telah mengubah segalanya. Bagaimanapun, Amirul Azhan tetap setia bertahan membawa cabaran pasukan tersebut hingga ke akhirnya.

Pemain berusia 28 tahun itu juga pernah membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan dan memperkuatkan skuad negara ketika muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018.

Perpindahan pemain kelahiran Ipoh ini juga menyaksikan Kedah menjadi pasukan kedua dalam karier Amirul Azhan sepanjang berkecimpung dalam kancah bola sepak profesional.

Azhan menjadi rekrut kelima buat Kedah selepas kelab yang akan beraksi dalam kempen Piala AFC 2022 itu terlebih dahulu mengumumkan kedatangan ‘geng’ dari Penang iaitu Muhammad Khairu Azrin Khazali, Muhammad Al-Hafiz Harun, Mohammad Amer Azahar dan Muhammad Azmeer Aris Nor Rashid.