Kemas kini terbaharu ranking FIFA telah dikeluarkan hari ini, Malaysia berada di tangga 146 dunia, berjaya naik 2 anak tangga berbanding 148 pada kemas kini sebelumnya pada 25 Ogos lalu.

Perubahan kedudukan ranking itu berlaku selepas Harimau Malaya mencatat dua keputusan seri dalam kejohanan jemputan King’s Cup 2022 yang berlangsung pada bulan lepas.

Semua keputusan perlawanan dalam kejohanan tersebut tersebut memberi pulangan mata ranking FIFA kerana diiktiraf sebagai Persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu menewaskan Thailand (ranking 111) pada 22 September lepas menerusi penentuan sepakan penalti (5-3) selepas terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.

Berdasarkan perkongsian daripada laman sesawang Footy Rankings, keputusan tersebut sekaligus memberikan tambahan mata sebanyak 3.57 dalam ranking FIFA dan membantu naikkan satu anak tangga.

Pada perlawanan kedua, Malaysia sekali lagi catat keputusan seri tanpa jaringan dengan Tajikistan yang berada di ranking 109 dunia namun tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia memperolehi tambahan mata sebanyak 1.16 dan secara keseluruhan mengutip 4.73 mata selepas tamat kejohanan King’s Cup 2022.

Untuk pengetahuan anda, tambahan mata setiap perlawanan yang diiktiraf oleh FIFA berbeza jika ia berakhir dengan penentuan sepakan penalti. Pengiraan mata untuk keputusan menang tanpa penalti (weightage 1.0) manakala menang menerusi penalti (weightage 0.75).

Berdasarkan jumlah ini, Malaysia yang kini berada di ranking 146 dunia mengumpulkan 1062 mata mengatasi negara Asia seperti Kuwait, Indonesia, Maldives dan Yemen.

Mereka masih berpeluang memintas Hong Kong jika konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan antarabangsa yang akan datang.

Ranking FIFA

Kedudukan ranking ini penting untuk menentukan pot undian rasmi Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung nanti. Malaysia memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk naikkan mata ranking FIFA walaupun peluang ke pot lebih baik agak tipis.