Bekas ketua jurulatih pasukan Kedah Darul Aman, Ramón Marcote kembali ke saingan Liga Malaysia apabila menyertai Selangor bagi menghadapi saingan musim 2023.

Perkara ini dikongsikan oleh kelab tersebut menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan dimana Marcote memegang jawatan sebagai penolong jurulatih kepada Tan Cheng Hoe.

“Kelab Gergasi Merah telah menandatangani Pembantu Ketua Jurulatih kedua baharu yang pernah membimbing sebuah pasukan dalam kancah Bolasepak Malaysia dan memiliki pengalaman yang luas di Eropah, Ramón Marcote Pequeño.

“Marcote sebelum ini pernah bekerjasama bersama Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, pada tahun 2015 sebagai Jurulatih Kecergasan dan nama beliau sebenarnya amat sinonim di kalangan peminat pasukan Kedah Darul Aman.

“Pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro ini merupakan bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017. Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih.

“Nidzam Jamil dan Ramón Marcote akan bekerjasama bagi membantu Tan Cheng Hoe menyusun strategi dalam memperbaiki kelemahan serta memperkukuhkan kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia 2023.

“Dalam masa yang sama, Selangor juga telah membawa masuk seorang lagi wajah baharu bagi membarisi barisan kejurulatihan pasukan, Fouzi Mukhlas yang menggalas tanggungjawab sebagai Jurulatih Penjaga Gol musim ini,” dipetik dari kenyataan oleh pihak kelab.

Dari segi pemain, Selangor telah menandatangani tiga pemain skuad kebangsaan bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi musim 2023.

Antara pemain yang telah menyertai Selangor ialah Faisal Halim, Ahmad Khuzaimi Piee dan V.Ruventhiran. Setakat ini, masih belum ada pemain import yang menyertai pasukan.