Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Ramon Marcote berpendapat Syafiq Ahmad adalah penyerang terbaik yang dimiliki oleh negara ketika ini.

Marcote yang kini merupakan staf kejurulatihan dalam skuad pembangunan Al-Hilal berkata demikian apabila ditanya mengenai penyerang tempatan terbaik dalam saingan Liga Malaysia di laman media sosial Instagram miliknya.

Ramon Marcote
Sumber Gambar: Instagram Story Ramon Marcote

Selain memilih Syafiq, Ramon Marcote turut memilih pemain sayap negara iaitu Safawi Rasid yang cemerlang menjaringkan empat gol dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang tamat pada awal bulan ini.

Syafiq Ahmad beraksi bersama Kedah bagi menghadapi saingan musim 2022 dimana beliau kembali ke utara tanah air apabila menyertai Kedah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan bahawa Syafiq Ahmad dipinjamkan untuk mendapatkan semula rentak beliau semula selepas insiden kemalangan yang menimpa pemain itu pada penghujung tahun 2020.

Sebelum ini, Syafiq beraksi bersama Kedah selama dua musim pada 2015 hingga 2017 sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim pada awal musim 2018.

Sepanjang beraksi bersama Kedah, Syafiq Ahmad berjaya memenangi beberapa kejuaraan seperti Liga Premier (2015), Piala Malaysia (2016), Piala Sumbangsih (2017) dan Piala FA (2017).

Perpindahan ini dilihat sebagai peluang keemasan bagi Syafiq untuk mendapatkan minit bermain yang lebih banyak sekaligus kembali kepada prestasi cemerlang beliau.

Kedah kehilangan khidmat Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang berhijrah ke Terengganu dan ini merupakan satu peluang yang cukup baik bagi Syafiq untuk mengisi jentera serangan pasukan Kedah musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Mamadou Samassa Dan Billy Ketkeophomphone Sah Milik Sri Pahang

Jaringan Moussa Sidibe Bantu JDT Tewaskan Shabab Al Ahli

TMJ: Jurulatih Di JDT Pun Ada Lesen Pro UEFA