Setelah enam musim tidak membawa pulang Piala FA ke bumi Johor, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, berazam akan mencurahkan segalanya pada pentas akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurut Bergson, dia akan cuba memastikan mampu berada di kemuncak prestasi seperti mana dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini selain meneruskan momentum jaringan bersama pasukan.

Penyerang berusia 31 tahun itu tiba di Kuala Lumpur dengan imej baharu apabila rambutnya telah ditukar warna biru sekaligus memberi semangat tambahan kepadanya untuk pamer aksi terbaik dalam perlawanan akhir tersebut.

“Sepanjang tempoh persiapan ke final, kami akan perbaiki segala kekurangan serta cuba berada di tahap terbaik supaya segalanya akan berjalan lancar pada hari perlawanan.

“JDT sudah lama tidak menang dalam kejohanan Piala FA dan sudah tentu saya serta rakan sepasukan akan berikan segalanya pada perlawanan akhir ini.

“Saya berazam untuk berada di tahap terbaik pada hari perlawanan dan cuba ulangi prestasi yang sama seperti mana yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Kepada penyokong JDT, saya harap semua dapat hadir ke Stadium Nasional kerana kami amat perlukan anda sebagai pembakar semangat dan kami akan berikan yang terbaik untuk anda semua,” katanya kepada MFL.

Bergson pasti menjadi tumpuan utama di perlawanan akhir Piala FA 2022, setakat ini beliau telah meledak 23 gol secara keseluruhan dengan 21 daripadanya di Liga Super dan 2 di Piala FA.

Selain Bergson, Harimau Selatan juga diperkuatkan oleh dua pemain sayap berkualiti iaitu Fernando Forestieri dan Arif Aiman. Kehadiran mereka mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan Terengganu jika dibiarkan bergerak bebas.

Para pemerhati bola sepak tempatan meramalkan perlawanan tersebut akan berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan ini mempunyai kekuatan tersendiri di bahagian serangan dan pertahanan.

80,000 penyokong dijangka akan menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berita gembira buat peminat yang tidak sempat hadir ke stadium, TV9 bawakan kepada anda perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Terengganu vs Johor Darul Ta’zim! Pasukan mana yang bakal menjulang Piala FA? Jangan lupa saksikan pada Sabtu 10 September jam 8:30 malam di TV9!

Saksikan secara langsung di TV9, Unifi TV 109, saluran Astro 149, myFreeview 109 dan strim di tonton.