Menjelang perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang pasukan Thailand malam ini, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan terdapat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.

Menurut Cheng Hoe, perlawanan menentang Thailand adalah penting untuk pasukan negara dan beliau perlu melihat dari semua aspek bagi memastikan Malaysia mampu memberikan cabaran. Mereka perlu mengutip 3 mata penuh bagi menghidupkan peluang mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Berikut ialah ramalan kesebelasan utama pasukan Malaysia dan Thailand:

MALAYSIA (Formasi: 4-2-3-1)

MAS-01

Tan Cheng Hoe dijangka akan menurunkan barisan yang jauh lebih mantap berbanding ketika aksi persahabatan menentang Tajikistan minggu lepas.

Penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias yang sebelum ini beraksi dalam 3 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mungkin akan direhatkan untuk memberi peluang kepada penjaga gol yang sedang ‘on-form’ iaitu Khairul Azhan.

Gandingan Afiq Fazail bersama Azam Azih serta Brendan Gan di bahagian tengah merupakan kombinasi paling solid yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan. Manakala Syafiq Ahmad bersama Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh akan mengemudi jentera serangan.

THAILAND (Formasi: 4-3-3)

Pengendali skuad Gajah Perang, Akira Nishino diramalkan akan mengekalkan 90% kesebelasan utama yang sama ketika mereka menewaskan UAE pada bulan lepas.

Seperti Malaysia yang mempunyai pemain sayap prolifik seperti Safawi Rasid, Thailand juga mempunyai dua pemain sayap yang berbahaya dan mampu menghukum kelekaaan benteng pertahanan lawan iaitu Ekanit Panya dan Chanathip Songkrasin.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan kanan dari kelab J-League, Yokohama F-Marinos iaitu Theerathon Bunmathan yang digantung satu perlawanan akibat mengutip dua kad kuning. Tempatnya dijangka akan digantikan oleh Sasalak Haiprakhon bagi mengekang pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.

Nishino juga akan mempertaruhkan penyerang veteran yang berpengalaman iaitu Teerasil Dangda untuk merobek gawang pasukan lawan. Teerasil setakat ini telah mengumpulkan 45 gol sepanjang mewakili skuad kebangsaan Thailand.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan Thailand yang mungkin anda terlepas pandang.

Akira Nishino Hanya Terapkan 2 Disiplin ‘Gaya Jepun’ Dalam Pasukan Thailand Ketika Ini

Akira Nishino Tidak Benarkan Pemain Thailand Ditemu Bual Wartawan

Theerathon Bunmathan Sah Tidak Dapat Diturunkan Dalam Perlawanan Bertemu Malaysia Di Bukit Jalil