Semalam merupakan hari yang bersejarah bagi bola sepak Arab Saudi apabila mereka menewaskan pasukan gergasi, Argentina 2-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 Qatar.

Susulan kemenangan tersebut, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengumumkan cuti umum untuk semua pekerja di negara itu. Selain itu, Semua taman tema utama dan pusat hiburan di Riyadh juga tidak akan dikenakan yuran kemasukan sepanjang hari bersempena kemenangan itu.

“Esok, Rabu adalah cuti umum untuk semua pekerja di sektor awam dan swasta.

“Begitu juga pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di semua peringkat,” lapor Al-Ekhbariya berhubung arahan Raja Salman.

Ketika ini pelajar di Arab Saudi sedang menduduki peperiksaan akhir tahun dan ia terpaksa dijadualkan semula.

Kemenangan skuad kendalian Herve Renard itu sememangnya sesuatu yang mengejutkan dunia bola sepak apabila Argentina hadir dengan reputasi hebat dimana Lionel Messi turut diturunkan.

Barisan pemain Arab Saudi tidak gentar untuk bermain garisan tinggi [High Line] sehingga mampu memerangkap jentera serangan Argentina.

Hasilnya tiga jaringan Argentina yang dihasilkan menerusi Lionel Messi dan Lautaro Martinez (dua gol) pada minit ke-22, 27 serta 35 dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Igauan ngeri Argentina bermula pada minit ke-48 apabila percubaan kaki kiri Saleh Al-Shehri dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Feras Al-Brikan berjaya membolosi gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Salem Al-Dawsari meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Martinez berselang lima minit kemudian bagi memberikan kelebihan buat wakil Asia itu.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Arab Saudi manakala ia merupakan rekod pertama kali Argentina dibolosi dua gol pada perlawanan pembukaan Piala Dunia sejak kali terakhir mengalaminya pada 1974 (tewas 2-3 ditangan Poland).

Manakala, Arab Saudi turut menjadi negara Asia pertama yang berjaya menjaringkan dua gol ke atas Argentina dalam sejarah Piala Dunia.