Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia bawah 23 tahun, Rahmad Darmawan berminat untuk menjadi pengendali pasukan Terengganu FC yang baharu bagi menggantikan jurulatih sebelum ini, Irfan Bakti yang melepaskan jawatan beliau bulan lalu.

Rahmad, yang pernah menjadi ketua jurulatih T-Team pada 2015 hingga 2017 sebelum pasukan itu dibubarkan dan dijenamakan semula kepada Terengganu FC II dikhabarkan telah menghantar permohonan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan.

Rahmad Darmawan
Sumber Gambar: Bolasport

“Rahmad sudah menghantar borang permohonan kepada PBSNT, namun pihak persatuan masih belum memutuskan jurulatih mana yang bakal mengisi jawatan itu.

“Ini kerana setakat ini ramai jurulatih tempatan dan luar negara menyatakan kesedian untuk membimbing skuad TFC berdasarkan permohonan yang diterima untuk mengisi jawatan itu,” kata seorang sumber kepada Berita Harian.

Selain Rahmad Darmawan, beberapa jurulatih dari dalam dan luar negara sudah menghantar permohonan kepada PBSNT untuk menjadi jurulatih baharu TFC. Dua lagi bekas pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner dan Azlan Johar serta bekas pemain pertahanan Terengganu, Mohamad Ishak Kunju Mohamad juga sudah menghantar permohonan.

Malah, bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim, Ulisses Morais dikhabarkan turut menyatakan minat untuk mengendalikan naib juara Piala Malaysia 2018 itu.