Pemain muda dari Malaysia, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifeli berjaya menjaringkan gol pertama untuk kelabnya, NK Zvijezda Gradacac dalam perlawanan persahabatan menentang Reprezentacija Grada Gradačac.

Dalam perlawanan itu, kelab dari Bosnia and Herzegovina tersebut mencatat kemenangan 5-0 sebagai persiapan menghadapi saingan Liga musim baharu.

https://www.instagram.com/p/CRLIgXNAdQy/?utm_source=ig_web_copy_link

Amzar merupakan produk Sekolah Sukan Pahang, SMK Seberang Temerloh dan beliau baru sahaja menyertai NK Zvijezda Gradacac dengan kontrak selama setahun bagi mencapai cita-citanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Pemain yang berusia 19 tahun itu telah menjadikan pemain KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin sebagai inspirasi untuk beranikan diri berhijrah ke luar negara walaupun sedar banyak cabaran yang perlu diharungi.

“Perasaan saya bercampur antara gembira, tak sabar dan ada juga rasa takut kerana ini kali pertama akan duduk lama di luar negara seorang diri.

“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan yang paling penting saya dapat pengalaman dan ilmu kerana apabila balik ke Malaysia saya sudah bersedia untuk bermain dengan mana-mana pasukan.

“Luqman adalah contoh terbaik bagi saya. Semua saya sudah bersedia, cuma saya nak kena biasakan diri dengan cuaca, budaya, makanan dan saya perlu kuatkan mental.

“Saya ada satu tahun (kontrak) dan sasaran saya nak berikan persembahan terbaik untuk pastikan kontrak itu dilanjutkan lagi selepas ini,” katanya kepada Berita Harian. 

Beliau sebelum ini pernah menjadi seorang daripada 10 pemain muda terpilih untuk menyertai TH Global Football Fantasia Camp 2020 di Real Madrid.

Baca artikel lain mengenai kisah pemain Malaysia di luar negara. 

Pemain Muda Malaysia, Aqil Arazi Aziz Sertai Kelab Perancis, AS Cannes

Omar Raiyan Tersenarai Dalam Skuad B-17 Red Star Belgrade Hadapi Musim 2020/2021

Dua Pemain Muda Malaysia Sertai Akademi Bola Sepak Di Sepanyol