Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini telah mengumumkan bekas Pengarah Akademi dan Pencari Bakat Malaga CF dari Sepanyol iaitu Rafael Gil Sanchez dilantik sebagai ketua jurulatih JDT II yang baharu bagi menggantikan tempat Ervin Boban.

Perkembangan itu diumumkan oleh pengarah teknikal JDT, Alistair Edwards melalui laman facebook rasmi sebentar tadi.

Menurut kenyataan daripada Alistair, Gil Sanchez dipilih berdasarkan pengalamannya memikul pelbagai tugas di Sepanyol seperti ketua jurulatih Akademi Malaga dan bawah-23. Beliau juga telah berkhidmat sebagai pencari bakat RCD Espanyol di England dan penolong jurulatih untuk skuad kebangsaan Arab Saudi.

Antara tugas utama Rafael adalah membantu perkembangan pemain muda dalam pasukan dan bermain gaya yang sama dengan skuad senior, sekali gus membolehkan kelancaran peralihan ke skuad senior.

Baru-baru ini, pemilik kelab JDT, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan kira-kira 16 orang pemain dari pasukan JDT II akan dilepaskan bagi membuka peluang buat pemain-pemain muda dari skuad JDT III dan JDT IV untuk terus mendaki hierarki dalam kelab Harimau Selatan tersebut.

Selain itu, TMJ juga turut menjelaskan pasukan JDT perlu mengambil langkah penjimatan tahun hadapan untuk disalurkan kepada stadium baru mereka dan dengan melepaskan 16 orang pemain berserta 3 orang staf JDT mampu jimat sehingga RM5.6 juta.

Baca juga artikel lain berkaitan perkembangan JDT yang telah kami sediakan untuk rujukan anda.

Ada 3 Lagi Projek Penting Yang Akan Dilaksanakan Oleh JDT Selepas Siap Stadium Sultan Ibrahim

Buka Peluang Bagi Pemain Muda, JDT II Akan Lepaskan 16 Pemain Pada Musim 2020 Dan Jimat RM5.6 Juta

JDT Tinggalkan Stadium Larkin Dengan Pencapaian Yang Cukup Hebat