Bekas pengurus Newcastle United, Rafael Benitez sah dilantik sebagai pengendali baharu kelab yang beraksi dalam saingan Chinese Super League musim ini, Dalian Yifang.

Perkara ini diumumkan oleh Rafa sendiri menerusi laman media sosial milik beliau pada semalam. Jurulatih berusia 59 tahun itu menandatangani kontrak bernilai £12 Juta setahun dimana beliau menggantikan Choi Kang-hee yang meletak jawatan pada Isnin lalu.

Musim lalu, Benitez membimbing Newcastle United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-13. Meskipun menamatkan saingan di kumpulan 10 pasukan terbawah Liga, namun pencapaian tersebut dianggap berjaya kerana pemilik Newcastle, Mike Ashley memberikan bajet yang minimun kepada Rafa untuk membeli pemain baru.

Sebelum dilantik sebagai pengendali Dalian Yifang, Rafael Benitez menegaskan beliau mahu kekal membimbing Newcastle bagi saingan musim 2019/2020. Bekas pengendali Liverpool, Chelsea dan Real Madrid ini berkata beliau tidak mahu hanya menandatangani kontrak semata-mata dan mahu terlibat dengan projek kelab. Namun, perbezaan pendapat serta bajet yang minimum menyebabkan beliau tiada pilihan selain angkat kaki dan mencari cabaran baharu.

Kontrak bernilai £12 Juta setahun yang ditandatangani oleh Rafa adalah dua kali ganda nilai daripada yang beliau peroleh ketika bersama Newcastle.

Dalian Yifang ketika ini menghuni tangga ke-10 dan mereka diperkuatkan oleh bekas ketua pasukan Napoli, Marek Hamsik dan bintang Belgium, Yannick Carrasco.