Pemain Negeri Sembilan, R.Barathkumar ingin terus memberi saingan sengit dalam memburu jaringan terbanyak Liga Premier 2021 selepas beraksi cemerlang dalam lima perlawanan dengan mengumpul empat gol setakat ini.

Ia merupakan prestasi yang memberangsangkan buat pemain berusia 29 tahun ini jika dibandingkan dengan musim-musim lalu ketika bersama PJ City FC sambil menyifatkan tahun ini akan menjadi musim yang lebih baik untuknya bersama Negeri Sembilan.

Musim lalu, Barathkumar hanya mencetak dua gol dan tiga gol untuk musim 2019 yang menyaksikan pencapaiannya bersama PJ City FC selama dua musim tidak terlalu menyerlah.

“Saya memang sasarkan untuk terus memburu gol bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk pasukan dan saya rasa saya mampu buat lebih lagi pada musim ini.

“Tahun lepas macam-macam kekangan yang kita hadapi dan agak sukar untuk saya serlahkan kemampuan saya, tetapi musim ini saya memang tekad untuk cuba meningkatkan lagi tahap kemampuan saya dengan lebih baik.

“Empat gol ini cukup bermakna dan saya tidak akan berhenti untuk terus memastikan pasukan mendapat pencapaian cemerlang seterusnya layak untuk beraksi di Liga Super tahun depan”, katanya.

Dalam aksi kelima Liga Premier pada Ahad lalu, Negeri Sembilan terus mengukuhkan kedudukan dengan mengekalkan kemenangan selepas menewaskan Skuad Projek FAM-MSN dengan keputusan 2-0.

Mengikuti rapat kedudukan pendahulu liga adalah Sarawak United FC yang juga masih belum tewas dalam empat perlawanan mereka setakat ini untuk berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata.

Aksi Liga Premier 2021 akan kembali bersambung pada 2 April depan yang menyaksikan perlawanan liga ketika ini sedang berehat bagi memberi laluan kepada kem latihan skuad kebangsaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Subkhiddin: Tindakan Tegas Perlu Diambil Terhadap Insa

Harga Tiket Perlawanan Liga Malaysia 2021 Mungkin Dinaikkan

Arif Fadzilah Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan