Kelibat pemain berdarah kacukan Malaysia dan Australia, Quentin Cheng mencuri tumpuan dalam sesi latihan skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) di Wisma FAM semalam.

Cheng yang beraksi bersama kelab Central Coast Mariners dalam saingan Liga bawah 21 tahun Australia berada dalam senarai 27 pemain yang dipilih menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 yang akan bermula pada penghujung bulan ini.

Bagaimanapun, pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan tempatnya dalam skuad akhir belum terjamin kerana beliau perlu membuktikan kemampuannya pada perlawanan persahabatan yang bakal diaturkan minggu depan. 

“Beliau sebelum ini bersama skuad Bawah 19 negara dan saya rasa beliau layak diberi peluang pada panggilan kali ini, dan kita tengok macam mana persembahan beliau (pada sesi latihan),” katanya kepada wartawan.

Skuad B-22 negara juga bakal diuji dalam aksi pemanas badan menentang sebuah pasukan tempatan pada minggu depan sebelum berlepas ke Manila pada 23 Nov ini, namun Kim Swee enggan mendedahkan nama pasukan tersebut.

74446233_2480222905407792_7782472644338647040_n
FOTO: FAM

Sementara itu, pemain muda Kedah, Fayadh Mohd Zulkifli tidak mahu melepaskan peluang ini untuk membuktikan kemampuannya bagi mendapatkan tempat dalam senarai akhir.

“Dalam pasukan Kedah, saya sudah buktikan apabila jurulatih (Aidil Sharin Sahak) kerap memberi peluang saya beraksi dengan pasukan utama, dan saya cuba buktikan saya boleh lakukan perkara yang sama bersama skuad B-22 kebangsaan,” jelasnya dalam Bernama.

Memandangkan format pertandingan membenarkan setiap negara mempunyai dua pemain yang melebihi umur 22 tahun, Ong Kim Swee bakal mengumumkan nama pemain senior pada 15 November 2019 iaitu sehari selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand.

Mereka akan melapor diri pada 20 November 2019 iaitu sehari selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan skuad bula sepak Sukan SEA 2019 yang mungkin anda terlepas pandang melalui pautan dibawah.

Sukan SEA 2019: Malaysia Perlu Biasakan Diri Bermain Di Atas Padang Sintetik

Masalah Pasport Mungkin Halang Wan Kuzain Beraksi Dalam Sukan SEA 2019

Wan Kuzain Tiada Dalam Senarai, Quentin Cheng Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Sukan SEA 2019

Sumber