Pasukan tuan rumah, Qatar mengalami kekalahan kedua dalam saingan kumpulan A temasya Piala Dunia 2022 apabila mereka tewas kepada Senegal dengan keputusan 3-1.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Thumama, kedua-dua pasukan turun dengan misi mencatat kemenangan setelah tewas pada perlawanan pembukaan, Qatar tewas kepada Ecuador menekala Senegal tewas di tangan Belanda.

Kedua-dua pasukan saling melancarkan gerakan serangan namun gol yang dinanti-nanti hadir pada penghujung separuh masa utama dimana Boulaye Dia menjaringkan gol pada minit ke-41 apabila beliau memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan lawan, Boualem Khoukhi. Separuh masa pertama tamat dengan Senegal berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah menggandakan asakan bagi mencari jaringan namun pemain dilihat sukar untuk menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan. Senegal menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Famara Diedhiou pada minit ke-48.

Pada minit ke-78, Mohammed Muntari menjaringkan gol buat tuan rumah dan jaringan tersebut menjadi pembakar semangat pemain untuk sekurang-kurangnya mencari keputusan seri pada perlawanan hari ini. Gol Muntari turut menjadi jaringan pertama bagi Qatar dalam sejarah tenmasya Piala Dunia.

Namun, Bamba Dieng menghancurkan harapan Qatar untuk mencari jaringan penyamaan dimana beliau menjaringkan gol ketiga Senegal dan memastikan tiga mata berpihak kepada wakil dari benua Afrika itu.

Harapan Qatar untuk mara ke peringkat seterusnya dilihat sukar dimana mereka belum mencatat sebarang mata selain hanya menjaringkan satu gol sepanjang dua perlawanan yang telah dihadapi.

Gugup diantara pemain menjadi salah satu faktor utama mengapa Qatar gagal untuk memberi saingan baik kepada Ecuador mahupun Senegal. Meskipun bergelar juara Asia, namun kualiti serta corak permainan yang ditampilkan oleh Qatar kali ini dilihat gagal.