Pasukan tuan rumah, Qatar tewas kepada Ecuador dengan keputusan 2-0 pada aksi pembukaan saingan kumpulan A temasya Piala Dunia 2022.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Bayt, gemuruh menjadi musuh utama pemain Qatar dimana mereka lambat untuk menyesuaikan diri dengan permainan dan paling ketara penjaga gol mereka, Saad Al Sheeb sering membuat kesilapan. Perkara ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan dari Amerika Selatan itu.

Ketua pasukan Ecuador, Enner Valencia membuka tirai jaringan pada minit ke-6 namun gol beliau dibatalkan oleh pengadil dimana beliau menyemak semula jaringan tersebut menerusi Video Assistance Referee (VAR) dan ada pemain Ecuador yang ofsaid ketika proses gol tersebut.

Namun Valencia tidak menunggu masa yang lama untuk menjadi penjaring pertama dalam temasya Piala Dunia edisi kali ini dimana beliau menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-16 selepas dikasari oleh Al Sheeb.

Bekas pemain West Ham United dan Everton itu menjaringkan gol kedua dimana beliau menanduk masuk bola hasil daripada hantaran Ángelo Preciado dari bahagian kanan sekaligus menggandakan kelebihan bagi Ecuador. Separuh masa pertama tamat dengan skuad bimbingan Gustavo Alfaro itu berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah cuba untuk merapatkan kedudukan dimana mereka melipat gandakan usaha untuk memberikan tekanan terhadap benteng pertahanan lawan namun tidak banyak yang boleh dilakukan dimana Ecuador mudah untuk mematahkan segala gerakan serangan Qatar.

Peluang terbaik Qatar hadir menerusi salah seorang pemain mereka iaitu Mohammed Muntari pada minit ke-85 tetapi rembatan dari luar kawasan penalti hanya melewati pintu gol Ecuador.

Kekalahan Qatar ini sekaligus memecahkan rekod selama 92 tahun dimana dalam tempoh tersebut, pasukan tuan rumah berjaya mengutip mata pada aksi pembukaan sama ada meraih keputusan seri atau menang.

Esok, dua lagi dalam kumpulan A iaitu Senegal dan Belanda akan bertemu dan Belanda dilihat mempunyai kelebihan ke atas pasukan Afrika itu selain Senegal kehilangan khidmat ketua pasukan mereka, Sadio Mane yang tidak dapat beraksi dalam edisi kali ini ekoran mengalami kecederaan.