Salah satu wakil dari Asia dalam kejohanan Copa America 2019 yang juga juara Piala Asia 2019, Qatar tersingkir daripada saingan setelah tewas kepada pasukan Argentina dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan yang berlangsung pada awal pagi tadi di Arena de Gremio.

Sebelum turun berdepan sesama sendiri, kedua-dua pasukan perlu mencatat kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya setelah hanya mengutip 1 mata daripada dua perlawanan pertama. Argentina tewas kepada Colombia pada perlawanan pertama dan hanya mampu mencatat keputusan seri ketika berdepan Paraguay pada perlawanan kedua kumpulan B.

Qatar yang dibimbing oleh Felix Sanchez itu mencatat keputusan seri ketika berdepan Paraguay pada perlawanan pertama dan seterusnya mereka tewas ketika berdepan Colombia pada perlawanan kedua.

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 bagi memberikan kelebihan untuk pasukan bimbingan Lionel Scaloni itu. Penyerang Manchester City, Sergio Aguero kemudiannya menjaringkan gol kedua pada 10 minit terakhir permainan bagi mengesahkan kemaraan Argentina ke pusingan 16 pasukan terakhir dan menyingkirkan Qatar daripada saingan Copa America.

Pada pusingan 16 terakhir, Argentina akan berdepan dengan pasukan bimbingan Rafael Dudamel, Venezuela yang menamatkan saingan kumpulan A di tangga kedua dibelakang pasukan Brazil.

Satu lagi pasukan dari Asia, Jepun akan turun berdepan Ecuador pada awal pagi esok. Jika Jepun meraih kemenangan dan Uruguay tewas kepada Chile, maka naib juara Piala Asia 2019 itu akan mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group