Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani berjanji negara tersebut akan menjadikan penganjuran Piala Asia 2023 sebagai festival bola sepak untuk benua tersebut.

Seperti dilaporkan pada Isnin lalu, Qatar terpilih menjadi tuan rumah bagi menggantikan China selepas mengenepikan Korea Selatan dan Indonesia yang dikatakan gagal memenuhi kriteria ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Keputusan sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekusif AFC itu menyaksikan Qatar menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas menjayakan kejohanan paling berprestij di Asia itu pada 1988 dan 2011.

Penganjuran kali ketiga itu bagaimanapun pasti akan menjanjikan suasana yang lebih menarik berserta dengan fasiliti dan infrastruktur berkelas dunia susulan status Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.

Sehubungan dengan pengalaman selaku tuan rumah Piala Dunia itu, Sheikh Hamad yakin bahawa Piala Asia 2023 di Qatar akan menjadi kejohanan yang menakjubkan buat semua pasukan bertanding.

“Kami percaya bola sepak Asia memerlukan kami untuk membuat bidaan [tuan rumah Piala Asia 2023], terutamanya kerana kami sudah bersedia untuk menganjurkan Piala Dunia.”

“Kami juga menganjurkan Piala Arab FIFA 2021 yang merupakan perayaan buat semua orang Arab, jadi kami mahu menjadikan Piala Asia 2023 sebagai festival untuk semua rakan kami di seluruh Asia,” ujar Sheikh Hamad menurut laporan laman sesawang rasmi AFC.

Selain pernah menganjurkan Piala Asia, Qatar juga muncul juara edisi 2019 selepas menundukkan Jepun 3-1 hasil jaringan Almoez Ali Zainalabedeen, Abdulaziz Hatem dan Akram Hassan Afif Yahya.

Sumber