Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan Qatar sebagai tuan rumah Piala Asia B-23 untuk tahun 2024 dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan yang diadakan di Kuala Lumpur.

Qatar yang turut menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 pada November ini telah mengetepikan 5 negara pembida lain iaitu Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE)Β  dan Uzbekistan.

Pemilihan negara itu berdasarkan kemampuan mereka menganjurkan acara sukan dan memiliki kemudahan fasiliti yang berkelas dunia.

Memandangkan kesan penurunan pandemik di seluruh Asia, Jawatankuasa bersetuju untuk mengesyorkan kepada Jawatankuasa Eksekutif AFC untuk menghentikan operasi Peraturan Khas yang Terpakai untuk Pertandingan AFC Semasa Pandemik Covid-19 mulai 2023 dan seterusnya.

Piala Asia B-23 turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik di Paris 2024. Benua Asia telah diberikan 3.5 slot iaitu 3 slot automatik untuk pasukan juara, naib juara dan tempat ketiga dan 1 slot ke play-off untuk pasukan ditempat keempat.

Ia bermakna pasukan yang berjaya ke separuh akhir Piala Asia B-23 2024 berpeluang rebut slot ke Sukan Olimpik.

Berdasarkan rekod, skuad bawah 23 tahun Malaysia pernah mencipta sejarah layak ke suku akhir pada tahun 2018 ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee. Ketika itu, mereka nyaris ke separuh akhir selepas tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan.

Tahun ini, Malaysia B-23 turut beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan namun mereka terpaksa pulang awal selepas tewas dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan.