Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengesahkan negara Qatar telah dipilih sebagai tuan rumah semua perlawanan AFC Champions League (ACL) musim 2020 untuk zon asia barat.

Saingan kelab elit Asia itu telah ditangguhkan sejak bulan Mac lalu akibat penularan wabak pandemik COVID-19. Situasi itu memaksa AFC mengubah format pertandingan dan setiap perlawanan akan dilangsungkan di venue berkecuali yang telah ditetapkan.

Qatar yang juga tuan rumah Piala Dunia 2022, akan menganjurkan semua perlawanan peringkat kumpulan ACL hingga separuh akhir bermula pada 14 September 2020.

Kelab yang akan beraksi di zon Asia Barat ialah kelab daripada negara Qatar, UAE, Arab Saudi, Iraq, Iran dan Uzbekistan.

Bagaimanapun, venue berkecuali untuk zon asia timur masih belum diumumkan dan dijangka akan berlangsung di China, Thailand, Australia, Korea Selatan, Jepun atau Malaysia. Semua perlawanan ini diadakan bermula pada 16 Oktober 2020.

Berdasarkan jadual, wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menentang kelab China, Guangzhou Evergrande pada 17 Oktober dan kemudian menentang wakil Korea Selatan, Suwong Samsung Bluewings pada 23 Oktober 2020.

Pada 29 Oktober, skuad Harimau Selatan ini akan bertemu wakil Jepun, Vissel Kobe sebelum melengkapkan perlawanan pusingan awal berhadapan Guangzhou Evergrande pada 1 November.

AFC menjelaskan mereka masih menunggu permohonan rasmi daripada negara asia timur yang berminat untuk menjadi tuan rumah.

“Semua negara anggota diberi tempoh sehingga 24 Julai 2020 untuk menghantar permohonan mereka sebagai tuan rumah perlawanan AFC Champions League zon asia timur,” kata AFC dalam satu kenyataan.

Perlawanan akhir AFC Champions League akan berlangsung pada 5 Disember 2020 dan juara akan mewakili Asia di kejohanan Piala Dunia kelab 2020.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

“Nguyen Cong Phuong Gagal Di Incheon United Kerana Tidak Menepati Kehendak Jurulatih”

Ini Rupa Sebenar ‘Social Distancing’ Penonton Yang Hadir Di Stadium Dalam Saingan Liga Jepun.

Pengerusi Port FC, Madame Pang Berminat Dapatkan Diogo Luis Santo