Beberapa hari lepas, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengeluarkan satu ciapan di laman twitter yang telah mengundang kemarahan dan kecaman daripada netizen terutamanya peminat bola sepak tempatan.

Ciapan tersebut berbunyi Wilayah Persekutuan Putrajaya berkemungkinan akan mempunyai pasukan bola sepak sendiri musim depan dan bersaing dalam Liga Malaysia.

Ia dilihat sebagai satu perkara untuk mencari publisiti murahan dan tidak menjaga sensitiviti ketika rakyat sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19.

Ciapan tersebut turut menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Putrajaya (Putrajaya FA) yang merupakan sebuah badan yang sah dan bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal bola sepak di Putrajaya.

Menurut kenyataan media yang disiarkan di laman twitter Putrajaya FA, mereka menegaskan tidak mendapat sebarang maklumat atau pengumuman rasmi mengenai penubuhan pasukan tersebut untuk bersaing dalam Liga Malaysia.

“Berhubung ciapan Menteri Wilayah yang tular baru-baru ini, Putrajaya FA ingin menegaskan bahawa badan ini tidak mendapat sebarang gambaran yang jelas serta tidak dimaklumkan apa-apa berkenaan kemungkinan Putrajaya bakal mempunyai pasukan sendiri dan bermain di Liga Malaysia.

“Putrajaya FA mempunyai kelab-kelab gabungan dibawahnya. Setiap keputusan yang persatuan ambil mestilah melalui proses-proses yang telah dipersetujui oleh ahli jawatankuasa dan mengambil kira pandangan kelab-kelab gabungan,” kata Presiden Putrajaya FA, Ahmad Faisal Abdul Karim.

Difahamkan, pasukan yang dimaksudkan oleh Tan Sri Annuar Musa ialah Rakyat United, dimana pasukan ini akan berpangkalan di Putrajaya. Rakyat United adalah pasukan baharu yang disebut-sebut sebagai pengganti Felda United yang telah menarik diri daripada Liga Malaysia musim depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Sebuah Pasukan Yang Dikenali Sebagai ‘Rakyat United’ Giat Rekrut Pemain Untuk Liga Super/Liga Premier 2021?

Netizen Mula ‘Alert’ Dengan Kemunculan Kembali Kluster ‘Lelaki Misteri’ Dalam Bola Sepak Malaysia

Ultras Terengganu Lancar Kempen Bersihkan Bola Sepak Terengganu Dari Parasit, 10 FAQ Yang Wajib Dibaca