Pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman kini mempunyai perancangan baharu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad The Red Warriors.

Menurut laporan daripada Bernama, beliau merancang untuk membina pusat latihan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti padang, bilik mandi, dewan makan dan bilik rehat dengan peruntukan bajet antara RM5 juta hingga RM10 juta.

Tiga lokasi di Kota Bharu dan dua lokasi di luar jajahan sudah dikenalpasti sebagai tapak untuk pembinaan pusat latihan tersebut.

“Antara kemudahannya ialah bilik mandi, dewan makan dan bilik rehat selain padang yang setaraf dengan keperluan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jersi terbaharu TRW semalam.

Paling menarik, beliau juga turut merancang untuk membina pusat latihan berbumbung supaya para pemain dalam menjalani latihan ketika hujan lebat dan pemasangan lampu limpah untuk sesi latihan waktu malam.

Jika pembinaan itu menjadi kenyataan, Kelantan merupakan pasukan kedua di Malaysia yang memiliki pusat latihan berbumbung selain Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Benda ini nampak perkara kecil tapi sebenarnya sangat penting untuk persediaan pemain dan pengurusan. Kalau boleh, kita harap dapat buat padang latihan berbumbung, padang sintetik namun semua ini akan dibuat secara berperingkat,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan perancangannya adalah untuk menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting dan juga belajar sesuatu daripada pengurusan pasukan JDT.

“Saya tidak berniat hendak cat semula stadium atau perkara yang tidak penting sebaliknya kita lebih fokus kepada keperluan pemain dan pengurusan, contohnya kita akan adakan kerjasama dengan Fakulti Sains Sukan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dari teknik dan taktikal malah saya juga ada perjumpaan dengan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tengku Mahkota Johor untuk dapatkan tips dan pandangan beliau kerana pasukan Johor, Melaka antara pasukan bola sepak yang bagus berbanding Kelantan yang banyak ketinggalan,” tambahnya.

Selain itu, pihaknya juga turut merancang untuk mengadakan siri latihan dengan pasukan bola sepak luar negara termasuk Jepun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Kelantan melalui pautan dibawah.

RASMI: Kelantan FC Jelaskan Semua Hutang Gaji 15 Pemain Sejak Tahun 2017 Dan 6 Bulan Tunggakan 2020

ZamSaham: “Kelantan Miliki Penyokong Paling Unik Di Malaysia, RM6.8 Juta Untuk ‘Settle’ Semua Pemilikan 100%

Ini Hujah Kelebihan TRW Kelantan FC Disenaraikan Dipasaran Saham, Jika Indonesia Boleh Mengapa Tidak Kelantan