Andai membicarakan tentang skuad kebangsaan Belgium yang kini masih lagi bergelar pasukan nombor satu ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), kurang lengkap sekiranya tidak menyebut tentang Romelu Lukaku.

Penyerang dengan fizikal cukup besar itu telah meledakkan 63 jaringan di pentas antarabangsa sekali gus menjadikannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Belgium.

Bagaimanapun, terdapat kisah lebih menarik berkaitan pemain berusia 28 tahun ini sehingga merintis kepada laluan buat Belgium sehingga menjadi antara pasukan yang disegani seperti hari ini.

Tercetusnya rangka tindakan ‘Purple Talent Project’

Memang menjadi tanggungjawab buat kelab untuk mencungkil seberapa banyak bakat berkualiti untuk menggalas tanggungjawab buat pasukan negara.

Perkara sama juga dilakukan oleh kelab gergasi Belgium, Anderlecht apabila rangka tindakan yang dicipta pada tahun 2007, kini hasil telah dinikmati skuad kendalian Roberto Martinez itu.

Rangka tindakan yang dinamakan ‘Purple Talent Project’ itu secara dasarnya merupakan cetusan idea daripada bapa Lukaku, Roger selepas anaknya menjadi buruan beberapa kelab dari Perancis seawal usianya 15 tahun [Lukaku bersama Akademi Anderlecht].

Menurut sumber Cano Football, pasukan seperti Lille, Lens, Auxerre dan Saint-Etienne berusaha untuk mendapatkan khidmat Lukaku dan kelab-kelab tersebut juga telah menawarkan sekolah, penginapan serta pendidikan bola sepak buatnya.

Belgium
Lukaku, Tielemans, Dendocker dan Mertens merupakan produk Akademi Anderlecht. Kredit Foto: Belgian Red Devils

Mungkin kerana tidak mahu melepaskan anaknya ke sana, Roger Lukaku menceritakan perkara tersebut kepada pengurus pasukan dan menyampaikan saranannya supaya melakukan perkara sama terhadap pemain di Akademi Anderlecht.

Perkara itu diakui sendiri Pengarah Akademi Anderlecht, Jean Kindermans yang mengatakan Roger yang menekan pihaknya untuk memulakan kerjasama bersama sekolah.

Segalanya berjalan dengan lancar apabila beberapa bulan kemudian, projek tersebut dimulakan oleh Akademi Anderlecht dalam menekankan keseimbangan dari aspek pelajaran dan bola sepak bagi meletakkan kedua-dua elemen tersebut di tahap tertinggi.

Apa pendekatan Akademi Anderlecht menerusi ‘Purple Talent Project’?

Selaras dengan penekanan terhadap keseimbangan dua perkara tersebut, rangka tindakan ini menetapkan para pelatih akan menjalani sesi latihan pada sebelah pagi yang dikendalikan oleh jurulatih profesional [bukan guru sekolah] di Pusat Latihan Anderlecht.

Sebagai contoh, Romelu Lukaku pada waktu remajanya akan menghabiskan masa satu jam untuk berlatih teknik ‘finishing’ pada setiap pagi sebelum masuk ke kelas untuk sesi persekolahan.

“Kami tidak suka membuatkan minda kanak-kanak dipenuhi dengan terlalu banyak maklumat. Lebih baik bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk jangka masa yang pendek daripada melakukan perkara yang sama dengan kadar yang lebih perlahan untuk jangka masa yang lebih lama,” ujar Kindermans.

“Akademi kami telah menetapkan sistem 3-4-3 yang berkembang menjadi 4-3-3 ketika berada di peringkat usia bawah 15 tahun tetapi pemain perlu fleksibel [dengan apa-apa taktik].

“Ia bergantung juga dengan kekuatan serta kelemahan kami dan juga lawan yang akan dihadapi, jangka waktu satu-satu musim dan tahap kesukaran perlawanan. Apabila anda berusia 16 dan 17 tahun, kami menjangkakan anda akan menang dan bermain dengan cara Anderlecht.”

“Saya bukan ‘Godfather’, tetapi saya percaya bahawa mencipta pemain yang serba boleh akan membantu dalam membangunkan manusia yang cerdas.”

”Jika mereka mematuhinya, mendengar dan bekerja keras di sini, maka siapa yang tahu apa yang boleh dicapai oleh mereka?” tambah Kindermans lagi.

Asas utama perkara ini adalah untuk memberikan pelajaran dan pendedahan kepada bakat muda dalam proses untuk menerapkan inovatif dan kreativiti bagi memenuhi keperluan bola sepak moden.

Hasil dinikmati skuad kebangsaan Belgium susulan ‘Purple Talent Project’

Lapan [termasuk Lukaku] daripada 26 pemain bola sepak Belgium yang masih lagi berjuang dalam kempen Euro 2020 merupakan antara lulusan ‘Purple Talent Project’.

Mereka ialah Jason Denayer, Leander Dendocker, Youri Tielemans, Michy Batshuayi, Dries Mertens, Dennis Praet dan Jeremy Doku.

Kesemua nama yang dinyatakan di atas juga kini merupakan tonggak bagi kelab masing-masing dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Serie A dan Ligue 1.

Antara pemain lain yang merasai pengalaman Akademi Anderlecht ialah Vincent Kompany, Marouane Fellaini dan Adnan Januzaj.

Sumber