Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kerjasama dengan jenama sukan global PUMA, bersama dengan rakan pengedarnya – ACTIVE SPORTS. Melalui kerjasama ini, PUMA bakal menjadi pembekal bola pertandingan rasmi bagi semua pertandingan di bawah kendalian MFL.

Perjanjian jangka panjang ini akan bermula pada pertandingan TM Piala Malaysia 2021, dengan PUMA menyediakan semua bola perlawanan rasmi sehingga 2024.

Selain Piala Malaysia, pertandingan di bawah kelolaan MFL merangkumi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Challenge Cup.

Lebih menarik, MFL muncul liga bola sepak pertama di Asia bersama PUMA yang secara rasmi menghasilkan bola perlawanan edisi khas sekali gus mengukuhkan lagi portfolio PUMA di peringkat global.

PUMA juga merupakan pembekal bola perlawanan rasmi La Liga, yang dibintangi duta PUMA berkelas dunia seperti Luis Suarez dan Antoine Griezmann serta turut digunakan dalam saingan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Bola pertandingan rasmi edisi khas MFL untuk TM Piala Malaysia 2021 bakal menggabungkan teknologi terkini yang dibangunkan oleh PUMA, direka untuk melengkapkan pelbagai gaya permainan selain menampilkan logo Piala Malaysia 100-Tahun.

“Ia adalah suatu kebanggaan apabila dapat melancarkan kerjasama jangka masa panjang yang menarik ini bersama MFL. Bola sepak sememangnya menjadi sebahagian daripada DNA PUMA. Kami berharap dapat sentiasa membawa produk terbaik dalam bola sepak, sentiasa bersedia berdepan cabaran dan terus berinovasi.

“Selaras dengan gerakan global Faster Football yang baharu dilancarkan, kami percaya bahawa kerjasama ini akan membuktikan komitmen kami untuk mendorong komuniti bola sepak tempatan bergerak ke hadapan dan menjadi inspirasi bagi semua anak muda Malaysia. Tujuan utama kami adalah untuk mengatasi halangan & cabaran, dengan mempercepatkan permainan menerusi produk inovatif – dan ini adalah dorongan kami dalam mencapai Faster Football.

“Kami amat gembira dengan peluang yang akan dihasilkan oleh perkongsian ini, dan kami menantikan kolaborasi masa depan,” kata Steven Tan, Pengurus Besar PUMA Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Tomas Trucha: Peluang Penang Untuk Jadi Naib Juara Liga Super 50-50

Shazwan Wong Berkongsi Tips Bagaimana Pasukan Perak Mampu Menjana Pendapatan RM391,000 Sebulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar

Perak Sasar Juara Liga Premier Musim Depan