Juara Liga Premier 2020, Pulau Pinang meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan pasukan Liga Super, Felda United 3-1 di pusingan pertama TM Piala Malaysia 2020 semalam.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan skuad kendalian Manzoor Azwira mencatat sejarah layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 2006.

Ia juga merupakan perlawanan terakhir Felda United selepas pasukan itu membuat keputusan tarik diri daripada saingan Liga Malaysia bermula musim depan.

Dalam perlawanan tersebut, Pulau Pinang terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui tandukan Casangrande pada minit ke 37 yang mudah menewaskan penjaga gol Felda United.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil itu mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Velez yang menolak masuk bola ke gawang tuan rumah.

Namun begitu, jaringan penyamaan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Pulau Pinang untuk terus mengandakan asakan dan mereka sering memberi masalah kepada benteng pertahanan Felda United.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila Amer Azahar mengambil kesempatan menghukum kesilapan benteng pertahanan pelawat lalu menambah gol kedua untuk Pulau Pinang pada minit 62.

Tidak cukup dengan itu, pemain import dari Korea Selatan, Changhoon Lee turut menambah derita pasukan lawan dan mengukuhkan kedudukan Harimau Kumbang pada minit ke-76.

Lawan Pulau Pinang di suku akhir sama ada UiTM FC atau Kelantan dan akan diketahui pada hari ahad apabila kedua-kedua pasukan tersebut berentap. Kali terakhir Pulau Pinang menjuarai Piala Malaysia adalah pada tahun 1974.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Arif Aiman Pemain Paling Muda Jaringkan Gol Dalam Saingan Piala Malaysia 2020

Kedah Singkir Pahang Daripada Saingan Piala Malaysia 2020

Persatuan Bekas Pemain Gesa Presiden Sarawak FA Letak Jawatan