Pengarah Bola Sepak PSV, Marcel Brands tanpa berselindung mengakui akan melepaskan tonggak pasukan, Cody Gakpo pada jendela perpindahan musim sejuk [Januari] nanti.

Dengan kemampuan hebat ditampilkan pemain sayap berusia 23 tahun itu dalam kempen Eredivise dan Piala Dunia 2022, PSV sudah pasti tidak akan membiarkan pasukan yang berminat untuk mendapatkan Gakpo membayar dengan harga murah.

Sebaliknya, Brands menegaskan bahawa mereka akan melepaskan pemain tersebut kepada pasukan yang sesuai dengannya serta bakal menjadi rekod perpindahan termahal buat kelab itu.

“Anda perlu menjadi realistik berhubung perkara ini. Sekiranya anda bercakap tentang Cody Gakpo dan tanda harganya pada ketika ini, terdapat 10 hingga 12 kelab di Eropah mampu untuk mendapatkannya.”

“Nilainya masih belum dibincangkan tetapi jika ada kelab yang sesuai tampil memberikan tawaran yang Cody mahu pergi. Perjanjian itu sudah dibuat sebelum saya datang. Ia mesti akan menjadi rekod perpindahan keluar buat PSV.”

“Kemudian anda akan tahu ke mana arah yang dia akan pergi,” ujar Brands menurut laporan Goal.

“Spekulasi di media kelihatan seperti semua kelab sedang beratur untuk mendapatkannya tetapi realitinya kami langsung tidak mengetahui apa-apa tentang minat mereka.”

“Semuanya masih senyap, saya telah bercakap dengan Cody, dia akan bercuti selama 10 hari. Jika ada mana-mana tawaran, ia mungkin akan diketahui oleh Cody dan pengurusannya,tetapi ia masih belum diketahui oleh kami,” tambah Brands lagi.

Dalam kempen liga, Gakpo cemerlang selaku penjaring terbanyak dengan sembilan gol serta menghasilkan 12 bantuan jaringan. Manakala beliau mencetak tiga gol buat Belanda ketika kempen Piala Dunia 2022.

Sumber