Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) akan menghantar pegawai dan penolong jurulatih untuk terbang ke Belanda bagi mencari bakat baharu serta mempromosikan program pemain naturalisasi badan tersebut.

Pengarah Teknikal PSSI, Indra Sjafri dan pegawai utusan khas, Hamdan Hamedan akan dibantu oleh penolong jurulatih, Kim Jong-jin akan bertolak ke Belanda pada masa terdekat untuk mencari pemain yang mempunyai kaitan dengan Indonesia untuk dimasukkan ke dalam skuad B-20 tahun negara itu.

Indonesia dan Belanda sememangnya mempunyai sejarah panjang dalam bola sepak khususnya dalam hal pemain naturalisasi dimana beberapa pemain telahpun beraksi bersama skuad Garuda di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Antara pemain berdarah Belanda yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia ialah Irfan Bachdim, Marc Klok, Stefano Lilipaly, Diego Michiels, Ezra Walian Sergio van Dijk dan Raphael Maitimo.

Pemain yang disebutkan di atas dianggap mempunyai kesan yang positif bersama skuad Garuda dan tidak lupa juga ada pemain yang gagal untuk berbuat demikian antaranya Jhon van Beukering yang hanya beraksi dalam satu perlawanan dan Tonnie Cusell yang beraksi dalam dua perlawanan.

Baru-baru ini, Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR-RI) telah bersetuju untuk memberikan kerakyatan negara tersebut buat Jordi Amat dan Sandy Walsh sekali gus membolehkan kedua-dua pemain itu menyarung jersi skuad Garuda.

Menurut sumber laman sesawang rasmi DPI-RI, persetujuan untuk memberikan kerakyatan buat pemain kelahiran Sepanyol dan Belgium itu menjadi salah satu daripada enam intipati Forum Tertinggi DPR-RI ke-5 Persidangan I Tahun Sidang 2022–2023 yang diadakan pada minggu lalu.

PSSI
Kredit Foto: PSSI

Amat yang pernah beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris dan La Liga pada ketika ini sudah dimiliki oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Walsh pula masih di Belgium bersama KV Mechelen.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Jordi Amat mempunyai darah Indonesia dari neneknya manakala ibu Sandy Walsh pula kelahiran Switzerland-Belanda berketurunan Indonesia.

Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan meluahkan rasa syukur kerana segala urusan untuk menjadikan pemain skuad kebangsaan Indonesia sudah semakin hampir.

“Alhamdulillah proses naturalisasi Jordi Amat dan Sandy Walsh tinggal beberapa langkah lagi. Terima kasih untuk DPR RI, Komisi III, Komisi X, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia (Kemenkumham), Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora), yang sudah membantu proses hingga saat ini,” kata Iriawan