Baru-baru ini, media dari Indonesia melaporkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menghadapi masalah kewangan kesan daripada penularan wabak pandemik COVID-19.

Malah, isu tunggakan gaji melibatkan pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong hangat diperkatakan selepas pembantu jurulatih, Nova Arianto mendedahkan mereka masih belum menerima gaji sejak awal bulan Mei.

Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi mengakui gaji para jurulatih skuad kebangsaan Indonesia memang lambat dibayar dan mereka sudah pun menyelesaikan tunggakan gaji itu kelmarin.

“PSSI ketika ini belum ada pendapatan. Jadi, bahagian kewangan sedang mengaturkan penggunaan dana untuk mana yang penting dan tidak penting sehingga semuanya berjalan lancar.

“Gaji mereka juga sudah dibayar,” kata Yunus dipetik dalam tribunnews sambil menjelaskan urusan pembayaran gaji sudah diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Yunus, PSSI juga sedang menunggu bantuan dana dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). FIFA dilaporkan akan mengagihkan AS$150 juta (RM655 juta) kepada ahli gabungannya untuk membantu menangani masalah kewangan kerana COVID-19.

Setiap badan bola sepak kebangsaan akan menerima AS$500,000 (RM2.18 juta) dengan FIFA menjelaskan kebiasaannya ia akan diberikan ‘selepas menepati kriteria yang spesifik’.

Yunus berharap wang tersebut dapat digunakan untuk menampung kos operasi dan membayar gaji semua staff badan induk itu.

“Presiden PSSI (Moch Iriawan) tetap berusaha agar semua proses pembayaran dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Ketika ini, Shin Tae-yong masih berada di Korea Selatan bersama tiga pembantunya sejak 3 April lalu selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditangguhkan.

Beliau mengambil keputusan untuk tinggal di negaranya buat sementara waktu setelah mendapati sistem perubatan Indonesia sangat teruk dalam menangani wabak pandemik.

Bagaimanapun, beliau hanya akan kembali semula ke Indonesia jika kes COVID-19 di negara jiran menunjukkan tanda pengurangan dan semakin reda.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Bekas Kelab Alexandre Pato, Tianjin Tianhai Dibubarkan Setelah Isytihar Muflis

Ejen Sarach Yooyen Nafi Khabar Angin Ke Kelab Malaysia, Mungkin Ke J League

2 Pemain Thailand Berusia 16 Tahun Sah Sertai Skuad Remaja Kelab Bundesliga, Miliki Ketinggian 1.83 Meter