Bekas pengendali skuad Piala Dunia Korea Selatan, Shin Tae-yong kini berdepan risiko kehilangan kerja apabila masih belum pulang ke Indonesia untuk memulakan tugas melatih skuad Garuda.

Pengerusi jawatankuasa skuad kebangsaan Indonesia, Syarif Bastaman menegaskan Tae-yong masih mempunyai kontrak dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan kemungkinan bakal dipecat jika kelibatnya masih tidak kelihatan pada minggu depan.

“Kalau dia (Shin Tae-yong) tidak datang, kami kena nilaikan semula kontraknya. Mungkin dipecat. Walau apapun, dia masih mempunyai kontrak. Kami minta dia datang ke Jakarta minggu depan. Kita lihat dia datang minggu depan atau tidak.

“Ada kemungkinan kontraknya ditamatkan kerana tidak memenuhi kewajiban. Dia tidak hadir selama tiga bulan, walaupun mungkin dalam dua bulan pertama kerana ada alasan yang masuk akal,” kata Syarif dipetik daripada CNN Indonesia.

Shin Tae-yong menjadi tumpuan peminat bola sepak Indonesia sejak semalam apabila mengakui sangat kecewa dengan sikap PSSI yang sudah mula menyimpang jauh daripada visi dan misi sebenar.

Beliau menyifatkan PSSI hanya mahukan kejayaan segera dan tidak boleh bersabar dengan pembangunan akar umbi yang telah dirancang secara berperingkat untuk membentuk pasukan berkualiti.

Syarif turut mendedahkan PSSI juga sudah mempunyai calon jurulatih tempatan yang akan menggantikan tempat Shin Tae-yong jika pengendali berusia 51 tahun itu ditamatkan kontrak. Antara nama yang menjadi pilihan ialah Indra Sjafri dan Fakhri Husaini.

“Nanti kami bincangkan. Kita lihat nanti. Tapi dia (Indra Sjafri) sekarang pengarah teknikal. Kalau dia jadi ketua jurulatih, apa bisa merangkap atau tidak. Saya tidak tahu.

“Tiada masalah kalau (Fakhri Husaini). Yang penting memenuhi kriteria dan kewajiban sahaja. Saya rasa para pemain sudah lama kenal Fakhri. Barisan kejurulatihan kita boleh tahan,” tambahnya.

Ketika dibawah bimbingan Simon McMenemy, Indonesia gagal mengutip sebarang mata dalam 5 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 apabila tewas kepada UAE, Malaysia, Vietnam, dan Thailand.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Indonesia melalui pautan dibawah.

Tak Mahu Kalah Lagi, Ketum PSSI Arah Skuad Garuda Mulakan Latihan Lebih Awal

Shin Tae-yong Mula Kecewa Dengan Sikap PSSI, Akui Tidak Tahan Lagi