Hasrat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk meninggalkan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) nampaknya masih belum pudar apabila badan induk itu bakal bermesyuarat dengan Jawatankuasa Eksekusif (Exco) untuk membuat keputusan akhir.

Perkembangan ini disahkan oleh Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi dalam satu kenyataan rasmi kelmarin. Mereka akan berbincang mengenai untung rugi keluar daripada AFF dan bakal mengumumkan keputusan rasmi.

“Kami akan berbincang dengan anggota Exco PSSI untuk membahas untung ruginya kita keluar atau tidak daripada AFF. Selepas itu baru kita akan putuskan.

“Beri kami masa dahulu. Selepas semuanya sudah selesai, kita akan maklumkan kepada umum,” katanya seperti dipetik dalam laman web rasmi PSSI.

Isu PSSI meninggalkan AFF muncul selepas mereka syaki pasukan Vietnam dan Thailand cuba berpakat untuk menyingkirkan Indonesia dalam saingan Piala AFF B-19 bulan lalu. PSSI kemudian menghantar bantahan rasmi namun AFF mengesahkan tiada unsur penipuan dalam perlawanan tersebut.

Sebelum ini, netizen Indonesia turut mendesak agar skuad kebangsaan mereka keluar daripada AFF sekaligus memaksa PSSI mempertimbangkan cadangan untuk menyertai Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF).

EAFF dianggap lebih kompetitif kerana turut meliputi dua nama besar dalam saingan bola sepak Asia iaitu Jepun dan Korea Selatan disamping negara lain seperti Hong Kong, Mongolia, Korea Utara, Taiwan, Guam, Macau dan Kepulauan Mariana Utara.

Bagi menggantikan Indonesia, Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) sedia menyertai AFF sekaligus meninggalkan Persekutuan Bola Sapak Asia Selatan (SAFF).

Menurut AIFF, niat mereka untuk menyertai AFF telah disampaikan sejak beberapa tahun lalu. Namun situasi pandemik yang melanda dunia pada ketka itu menghalang mereka daripada meninggalkan SAFF.

Baca lebih lanjut mengenai isu tersebut melalui pautan dibawah.

India FA Mahu Sertai AFF

EAFF Sedia Terima Indonesia