Disebalik kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Bahrain dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 semalam, isu padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Imej Malaysia sebagai tuan rumah tercalar apabila keadaan padang bertukar menjadi lebih teruk akibat hujan lebat yang turun lebih dua jam sebelum perlawanan bermula.

Malah, para petugas terpaksa menggunakan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air sekaligus mencetus pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan tindakan menggunakan ‘penyodok sampah’ tersebut adalah tidak wajar kerana mengakibatkan padang menjadi rosak.

Beliau berkata, PSM sudah mencadangkan supaya perlawanan pada malam tadi dilewatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam namun pihak penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan.

“Seperti sedia maklum, padang SNBJ mempunyai sistem pengaliran air yang tersendiri iaitu air akan keluar mengikut saluran yang sudah dibuat di bawah padang apabila hujan lebat.

“Kami sudah nasihatkan kepada penganjur untuk tangguhkan perlawanan pada jam 9.30 untuk beri masa air di atas padang mengalir keluar namun mereka tetap meneruskan perlawanan malah menggunakan pula penyodok dan kadbod untuk membuang air.

“Natijahnya, padang pula jadi rosak sekali gus banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan venue itu berada pada keadaan terbaik pada perlawanan akan datang,” katanya kepada Arena Metro.

Sumber Arena Metro turut mendedahkan terdapat cadangan supaya hanya perlawanan membabitkan Harimau Malaya saja diadakan di SNBJ manakala perlawanan pasukan lain berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Ini adalah bagi memastikan kualiti padang SNBJ lebih terjamin dan tidak rosak

“Ada pihak tertentu berkeras juga mahu enam perlawanan diadakan di SNBJ dalam tempoh lebih kurang seminggu. Kita boleh lihat apa akibatnya apabila padang tidak boleh tahan seterusnya rosak.

“Sepatutnya, perlawanan lain (bukan membabitkan Harimau Malaya) diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sekali gus padang SNBJ dapat digunakan secara optimum,” katanya.

PSM bersama KBS Malaysia akan memulakan proses penukaran padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadualkan bermula suku pertama tahun hadapan serta lain-lain penambahbaikkan Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh penganjur pada tahun ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kelayakan Piala Asia: Jaringan Penalti Bahrain Kecewakan Skuad Negara

Akram Mahinan: Harap Semua Negeri Ada Padang Seperti Stadium Sultan Ibrahim

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama

Amaran Presiden FAM Kepada Pemain: “Jangan Lena Dibuai Dengan Sanjungan Dan Pujian”