Kelab Liga 1 Indonesia, PSIS Semarang mengesahkan mereka melepaskan pemain pertahanan muda, Pratama Arhan secara percuma ke kelab divisyen dua Jepun, Tokyo Verdy.

Menurut perkongsian Extra Time Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSIS, Yoyok Sukawi menegaskan kelabnya membuat keputusan sedemikian kerana mahu mengutamakan kelangsungan karier dan masa depan Pratama di Jepun.

Menurut maklumat dari laman web rasmi kelab Tokyo Verdy, Pratama ditawarkan kontrak kekal dan bukan kontrak sebagai pemain pinjaman namun tempoh kontrak tersebut tidak dinyatakan.

Dalam artikel itu juga, aksi Pratama sebenarnya telah diperhatikan sejak bulan Ogos 2021 lagi dan bukan semata-mata aksi memukau pada kejohanan AFF Suzuki Cup 2020 di Singapura sahaja yang menyaksikan pemain itu membantu Indonesia muncul sebagai naib juara.

Pramata muncul selaku pemain Asia Tenggara pertama kelab Tokyo Verdy kerana kelab itu tidak pernah mengambil mana-mana pemain dari Asia Tenggara lain sebelum ini.

Sehingga pengumuman ini dibuat, Pratama Arhan dijangka akan terbang ke Jepun selepas sempadan dibuka atau mendapat kebenaran dari pihak imigresen Jepun seterusnya menjalani ‘medical check-up’ sebelum majlis pengenalan pemain akan dilakukan di Tokyo.

Pemain berusia 19 tahun itu akan memakai jersi nombor 38 untuk menghadapi saingan J2 musim 2022.

Antara pemain dari rantau Asia Tenggara yang beraksi di divisyen kedua liga bola sepak Jepun itu ialah Jefferson Tabinas (Mito HollyHock), Paul Tabinas (Iwate Grulla Morioka), Sittichok Paso, Vũ Hồng Quân dan Phạm Văn Luân (FC Ryukyu).

Laman Instagram Tokyo juga mengalami peningkatan mendadak dari segi pengikut dimana mereka kini mempunyai seramai 236 ribu pengikut berbanding 51 ribu sebelum ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

RASMI: Malaysia Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Penyokong Masih Tidak Dibenarkan Makan Dan Minum Dalam Stadium

Piala AFF B-23: Pemain Pertahanan Selangor Terpaksa Diketepikan Kerana Kecederaan Lutut