PSG sedang dalam proses untuk keluar meninggalkan Parc Des Princes yang menjadi rumah kepada kelab itu sejak ditubuhkan pada 1970.

Ini berlaku setelah Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo mengesahkan bahawa pihak kerajaan menolak sebarang rundingan untuk menjual stadium tersebut kepada kelab gergasi Perancis itu.

PSG menyewa di Parc Des Princes dengan nilai sewaan tetap €1 juta setahun. Namun kelab itu sebelum ini diminta untuk terlibat dalam penambahbaikan stadium untuk aksi Euro 2016, di mana Parc Des Princes terpilih sebagai salah satu venue pertandingan.

PSG ketika itu dibenarkan untuk menambah kapasiti stadium daripada 48,000 kepada 60,000.

Situasi itu dianggap menang menang untuk kedua dua pihak. Memandangkan PSG boleh mengaut kutipan tiket hari perlawanan yang lebih banyak.

PSG juga menyatakan mereka sedia membelanjakan €500 juta lagi untuk pelbagai usaha penambahbaikan stadium itu agar mereka terus dapat bersaing dengan kelab besar lain di Eropah.

Beberapa tahun kebelakangan ini, sudah ada beberapa siri rundingan antara PSG dengan kerajaan Perancis berkaita dengan pembelian stadium itu.

Namun Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo baru baru ini mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan lagi melayan sebarang usaha untuk rundingan seperti itu.

Menurut Anne Hidalgo, Parc Des Princes milik rakyat Perancis dan PSG kekal menjadi penyewa sahaja di situ, tak lebih daripada itu.

Kenyataan itu membuatkan PSG kecewa dan menyatakan bahawa, tindakan kerajaan itu dianggap terburu buru untuk menafikan rundingan dengan mereka.

Sebelum ini kerajaan memberikan kerjasama yang sangat baik dalam rundingan. Pada November kerajaan menganggap PSG menawarkan harga terlalu rendah.

Kelab itu dengan berbesar hati cuba menilai semula tawaran dan sedia menawarkan harga lebih tinggi. Malangnya, tiba tiba Anne Hidalgo megumumkan bahawa tiada lagi rundingan.

PSG: Kerajaan buat tindakan terburu buru

PSG dalam kenyataannya berkata, kerajaan telah membebankan rakyat atau pembayar cukai dengan menanggung kos penyelanggaraan stadium itu yang bernilai puluhan juta euro setahun.

Bercakap kepada ESPN, jurucakap kelab berkata: “Sungguh mengejutkan dan mengecewakan untuk mendengar bahawa Datuk Bandar Paris mengambil kedudukan yang, secara bertegas menolak sebarang rundingan.”

“Langkah yang akan memaksa PSG, peminat dan komuniti kami menjauhi Parc des Princes.”

“Selain itu, ianya agak luar biasa — [kerajaan telah] menambah berpuluh puluh juta Euro kepada beban pembayar cukai untuk mengekalkan struktur bangunan, yang kini berusia 50 tahun dan memerlukan pengubahsuaian.”

Hidalgo bagaimanapun mengalu alukan usaha PSG untuk terus bekerjasama dengan pihaknya dalam kerja kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian.

Anne Hidalgo menyatakan: “Kita harus menyokong usaha PSG yang mahu memodenkan lagi stadium ini.”

Malangnya PSG pula mengisytiharkan bahawa mereka selepas ini menolak untuk melabur dalam kerja kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian Parc Des Princes, kecuali mereka memiliki stadium itu secara persendirian.

PSG mempertimbangkan untuk keluar dari Parc Des Princes. Dan mungkin akan terpaksa membina stadium mereka sendiri.

Perkara itu memerlukan kajian yang teliti. Memandangkan, bukan mudah untuk mencari tanah di sekitar Paris untuk membina stadium berdekatan dengan komuniti penyokong PSG.