PSG dengan berbesar hati telah memberikan Messi cuti rehat khas bersama keluarga dia di Paris.

Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan bahawa mereka masih merehatkan Lionel Messi selepas pemain itu membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022.

Messi sebenarnya sudah diberikan cuti khas lebih panjang berbanding pemain lain bagi memberikan peluang kepadanya untuk meraikan kejuaraan di Argentina.

Seperti dijanjikan, pemain itu kembali semula pada 2 Januari 2023. Dan dia sedia untuk beraksi.

Namun PSG memutuskan bahawa, mereka mahu memberikan cuti rehat khas agar Messi meluangkan lagi masa dengan keluarga. Kali ini di Kota Paris. Cuti ini adalah cuti rehat.

Berbanding dengan cuti sebelum ini yang banyak dihabiskan Messi dengan keraian kejuaraan Piala Dunia.

Ini bermakna, Lionel Messi tidak akan terlibat dalam perlawanan tandang Piala Perancis menentang Chateauroux, Jumaat.

Pemenang tujuh Ballon d’Or itu baru kembali berlatih di Perancis pada Rabu minggu ini selepas meraikan kemuncak kejayaan dalam kerjayanya dengan menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar tiga minggu lepas.

Jurulatih PSG Christophe Galtier berkata penyerang itu boleh beraksi untuk perlawanan liga seterusnya di Parc des Princes pada hari Rabu minggu hadapan menentang pasukan pelawat Angers.

Galtier berkata: “Kami mahu dia berehat dan menghabiskan masa cuti bersama keluarga, dia pasti tidak akan bermain esok [Jumaat].”

“Saya telah bercakap dengannya dan kami harap semuanya berjalan lancar supaya dia dapat bermain untuk perlawanan seterusnya.”

Galtier turut menyeru peminat PSG untuk memberi sambutan hangat kepada pemain Argentina itu, walaupun Messi memainkan peranan penting dalam menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

Pada hari Rabu, Messi menerima guard of honour daripada rakan sepasukannya di tempat latihan kelab.

Selain daripada Messi, dua lagi bintang PSG, Kylian Mbappe dan Neymar juga akan terlepas perlawanan Jumaat ini.

Mbappe kini sedang bercuti dan Neymar sedang mengalami kecederaan buku lali.

“Kami telah merancang untuk memberi masa kepada Neymar untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan Piala Dunianya dalam tempoh ini,” kata Galtier.

Neymar mengalami kecederaan di Qatar pada perlawanan pembukaan menentang Serbia tetapi dia berjaya pulih semula menjelang aksi kalah mati.

Neymar turut beraksi dalam aksi liga sebelum ini, namun dilayangkan kad merah.

“Saya tidak bimbang tentang Neymar, dia kecewa dengan Piala Dunia tetapi saya dapat melihat dia memberikan sepenuhnya kepada kami,” kata Galtier.

Galtier berkata perjalanan ke kelab Divisyen Tiga Chateauroux akan menjadi peluang yang baik untuk menurunkan beberapa pemain muda dalam skuad PSG.