Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Beberapa peminat Perancis merasakan, sikap dan perubahan karakter pada Kylian Mbappe telah membuatkan Perancis bergelut dalam kempen Euro kali ini.

Walaupun mereka mara ke pusingan kalah mati dan menjaringkan beberapa gol, namun sebenarnya, prestasi Kylian Mbappe jauh daripada yang terbaik beliau miliki.

Mbappe mengejutkan dunia apabila dia dan Giroud secara terbuka sindir menyindir sebelum kempen Euro bermula. Membuatkan peminat risau kem Perancis akan bergolak seperti mana pernah berlaku dalam Piala Dunia pada satu ketika dahulu.

Giroud tidak senang dengan Mbappe yang terlalu bermain individu.

Giroud berkata: “Orang mengatakan saya tidak pandai bersembunyi [cakap lepas], tetapi itu kerana kadang-kadang saya berlari dan meminta bola namun bola tidak diberikan kepada saya.”

“Saya cuba mewujudkan semua kemungkinan kepada rakan sepasukan saya dan mencari jalan keluar untuk memberikan penyelesaian kepada pasukan.”

“Dengan dua bantuan yang baik sekali dari Ben Yedder dan Pavard saya dapat menyudahkan  permainan dengan baik.”

“Tetapi kami pasti dapat menjaringkan lebih banyak gol sekiranya kami lebih cekap. Saya gembira dapat membantu pasukan, saya bukannya ‘koyak’ [bitter],” kata penyerang Chelsea itu.

Mbappe dilaporkan tidak gembira dengan komen tersebut yang disifatkannya sebagai ditujukan secara spesifik kepadanya.

Lalu, laman GFFN menyatakan Mbappe mahu mengadakan sidang media untuk mempertahankan dirinya.

Pengurus Perancis, Deschamps juga terpanggil untuk menyelesaikan isu berkaitan keluhan Giroud selepas perlawanan itu. Dia mengakui keluhan Giroud itu ada benarnya.

“Mungkin apa yang cuba dikatakan oleh Giroud adalah benar.”

“Dalam beberapa keadaan, hantaran tidak sampai. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan Kylian atau orang lain.”

Namun Deschamps turut menyatakan bahawa kesemua penyerangnya harus bijak mengubah gaya permainan sesuai dengan gaya permainan rakan rakan lain.

“Oliver tidak mempunyai profil [permainan] yang sama dengan Mbappé. Dia mempunyai kedudukan posisi yang lebih fokal [statik] dan pada babak pertama dengan Benzema tiga serangkai di hadapan dapat menukar posisi dan menukar zon.”

“Terserah kepada pemain untuk menentukannya.”

Mbappe pengambil sepakan percuma

Dalam aksi Euro 2020, di atas padang Mbappe mengambil kesemua rutin sepakan percuma yang berpotensi membawa kepada gol. Dia sebelum ini membiarkan rutin itu dilakukan oleh Griezmann, Pogba dan pemain lain yang lebih bagus.

RMC melaporkan, Deschamps memberikan tugas sepakan percuma dari zon bahaya kepada Mbappe, mengambilnya dari Griezmann.

Dalam karier Mbappe setakat ini, beliau tak pernah menjaringkan gol daripada sepakan percuma.

Sebagai perbandingan, Griezmann pernah melakukan 7 gol daripada 39 percubaan sepakan percuma ketika di Atletico.

decs

Selepas menjadi wira pada Piala Dunia 2018, Mbappe dituduh mulai angkuh dengan status bintang yang ada padanya.

PSG ada reputasi yang tidak bagus dalam melayan pemain senior

Ada juga pendapat menyatakan, atmosfera dan budaya di dalam kelab PSG itu sendiri telah membuatkan perkara ini berlaku.

Kelab yang tiba tiba kaya dengan duit dan membeli bintang bintang ternama untuk mencipta kejayaan segera sehingga lupa membentuk budaya saling menghormati di dalam kelab.

PSG antara kelab yang ada reputasi di mana pemain tidak menghormati pemain senior.

Antaranya ketika Neymar bergaduh mahu menjadi pelaksana penalti utama kelab daripada Edinson Cavani yang sudah bertahun tahun memikul tugasan itu. Neymar tidak peduli walaupun dia sedang berhadapan dengan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah PSG.

Dan cara Unai Emery menyelesaikan masalah ketika itu juga sangat teruk. Dia menyuruh pemain berbincang sesama sendiri kerana masing masing dah besar. Itu membuatkan bintang bintang muda ini naik lemak.

Tidak lama selepas itu berlaku lagi pertikaian penalti yang akhirnya Daniel Alves mengambilnya.

Koresponden bola sepak ternama, Muhammad Butt berkata: “Ego Mbappe sekarang sudah sukar dikawal. Boleh dikatakan kerana dia bermain dalam kelab yang tidak ada budaya ataupun menghormati pemain senior.”

“Saya berharap dia skor sepakan percuma semasa melawan Portugal untuk membuktikan dirinya betul, malangnya dia tak pernah skor sebarang sepakan percuma dalam perlawanan rasmi.”

Penulis Pro PSG: ‘Mbappe memang semakin besar kepala’

Carl-Oscar Källström, editor untuk Psgtalk, turut mempertikaikan pemain itu mengambil rutin bola mati.

“Hakikatnya, apabila Mbappe mengambil sepakan percuma untuk Perancis, itu jelas menunjukkan status dia dalam skuad ini. Dia bukan penyepak jarak jauh yang bagus dan bukan pelaksana sepakan percuma yang bagus. Pasukan ini ada Griezmann, Pogba, Digne dan Benzema.”

Ketika penentuan penalti, Mbappe meminta menjadi pengambil kelima. Kerana itu berpotensi menjadi penalti penentu.

Agak ironi, pemain yang disindirnya, Olivier Giroud menjaringkan penaltinya. Walaupun sebelum sepak mula, Deschamps dilihat bertanya sama ada Giroud boleh mengambil sepakan pertama tersebut. Giroud setuju walaupun dia bukan pengambil penalti dan fokus kepada tugasannya.

Sebelum ini, selepas aksi cemerlang masuk sebagai pemain gantian pada aksi UCL menentang Club Brugge, Mbappe mengejutkan wartawan apabila mengkritik Thomas Tuchel yang meletakkannya di bangku simpanan.

“Saya nak jadi pemain kesebelasan utama, saya rasa saya layak, tapi bukan saya membuat keputusan.”

18 bulan yang lalu, Christophe Dugarry antara yang tidak selesa dengan komen Mbappe ke atas Tuchel.

Namun Dugarry berlapang dada dan menganggp mungkin dia terlalu old school untuk menerima seorang pemain muda mengecam jurulatihnya secara terbuka.

“Kata kata dia tadi membuatkan saya tak selesa. Tapi mungkin kerana saya dari generasi berbeza. Hari ini, isu berpasukan tolak tepi, ramai lebih memikirkan diri sendiri sebagai keutamaan.”

Mbappe cuba menjadi Neymar

Dugarry kemudian merasakan Mbappe sudah terikut ikut dengan sikap Neymar. Pemain yang pernah menolak pulang ke Paris kerana mahu berpindah balik ke Barcelona. Neymar ketika itu terus kekal di Brazil. Sehinggalah jendela perpindahan tamat baru dia kembali.

Dugarry berkata: “Saya rasa dia sudah di-Neymar-kan [Neymarised]. Saya lagi suka kalau dia rapat dan keluar dengan Idrissa Gueye, Ander Herrera atau Angel Di Maria.”

“Ya keluar dengan pemain pemain yang ‘alim’ ni lebih baik, berbanding keluar dengan Neymar si kaki parti. Tapi hey.. macam saya cakap, saya risau ini akan merosakkan impian saya. Saya rasa perkara ini boleh berlaku cepat.”

Deschamps dan favouritism

Selain itu, layanan Deschamps kepada Mbappe juga dianggap antara punca kepada masalah ego Mbappe ini. Dia ibarat anak emas Deschamps. Tidak dinafikan dia sangat berbakat. Namun Mbappe tetap akan berada di padang walaupun dia beraksi teruk sekali.

Ramai peminat Perancis meminta Mbappe kembali kepada dirinya yang dahulu. Seorang pemain muda yang tidak ego dan menghormati pemain senior.

Bekas pemain Perancis, Jerome Rothens tidak suka dengan sikap dan kelakuan Mbappe pada kali ini. Beliau setuju, toleransi yang terlalu banyak oleh Deschamps membuatkan Mbappe bersikap diva.

Kenyataan Rothens itu adalah sebelum aksi suku akhir antara Perancis dan Switzerland. Beliau berkata: “Jika sikap dia beterusan macam tu, ianya kerana dia dibukakan pintu seluasnya untuk melakukannya. Deschamps telah membuka banyak pintu yang sebelum ini dia tutup.”

“Adakah dia sedar dia tak ada kualiti seorang pemain mengambil bola mati? Mungkin dia ada skor satu dua gol di pusat latihan. Namun saya menyaksikan kesemua perlawanan Mbappe.”

“Kamu ingat tak mana mana sepakan percuma dari jarak 20 meter dia yang masuk?”

“Selain itu, saya rasa [Antoine] Griezmann, Pogba. Mereka berdua kaki kanan dan kaki kiri. Apa yang Mbappe nak sibukkan diri berada di sana.”

Deschamps sebelum ini memberikan jaminan bahawa Persatuan Bola Sepak Perancis masih percayakan beliau. Walaupun beberapa media mulai mengaitkan Zidane dengan tugasan tersebut.

Jadi, Deschamps pastinya harus membantu semula Mbappe agar tidak seperti layang layang terputus talinya.

Baca juga artikel

Euro 2020: Kegagalan Mbappe Paksa Perancis Ucapkan Selamat Tinggal

Mbappe Akui Terasa Hati Dengan Kenyataan Giroud

Giroud Tuduh Mbappe Tak Nak Hantar Bola Kepadanya, Deschamps Mahu Pemain Cari Penyelesaian Sendiri

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group