Thomas Tuchel merupakan calon utama menggantikan Frank Lampard di Stamford Bridge.

Kami ada pandangan tersendiri tentang pro dan kontra pelantikan Tuchel di Chelsea.

Pro

1. Pembentukan DNA bola sepak

Thomas Tuchel antara pengurus yang memiliki gaya permainan bola sepak yang jelas. Beliau menggemari sistem bola sepak fluid dan digelar modern football.

Bersama dengan Borussia Dortmund beliau berjaya mengambil alih transisi selepas era Klopp. Tuchel sukakan bola sepak yang cantik dan indah di atas padang.

Ketika bersama dengan PSG, beliau membantu Neymar menikmati bola sepak terbaiknya selepas era MSN. Di mana Tuchel telah menyediakan sistem permainan berkesan.

2. Membangunkan bakat dan bintang

Tuchel juga dikenali sebagai pengurus yang gemar membangunkan bakat muda. Dalam pasukan Chelsea sekarang ada ramai bakat muda yang berkaliber.

Kehadiran Tuchel dengan cara pengurusannya yang tegas dengan pemain antara perkara yang membuatkan beliau sangat dihormati para pemainnya.

Selain daripada membangunkan bakat prospek, Tuchel juga ada rekod yang baik dalam mengendalikan bintang berkelas dunia. Di PSG beliau pernah mengenakan tindakan ke atas Mbappe hanya kerana pemain itu tidak berdisplin.

Tuchel menyisihkan Mbappe daripada pasukanya kerana menganggap pemain itu bertindak tidak ada semangat kesukanan kepada pasukan ketika Mbappe tak puas hati dikeluarkan awal.

Dan menariknya beliau tetap berjaya memastikan bilik persalinan pasukan terkawal.

3. Jelas dengan apa dia lakukan

Tuchel merupakan seorang pengurus yang sangat vokal dan jelas dengan apa yang beliau mahu lakukan.

Dan ini merupakan perkara yang penting daripada seorang pengurus untuk menterjemahkan idea permainannya.

Beliau pengurus yang memiliki pasukan kejurulatihannya yang tersendiri dan memiliki cara pengurusan latihan yang mereka sudah praktikkan sekian lama.

Kontra

Agak menarik kerana kesemua perkara berkaitan dengan pro di atas adalah cabaran yang besar buat Tuchel.

1. Chelsea lebih pentingkan piala

Sebelum ini Chelsea pernah melantik Maurizio Sarri yang memiliki pendekatan yang sama dengan Tuchel. Mahu membina bola sepak moden dengan high pressing di Chelsea.

Ianya memerlukan masa yang banyak untuk membentuk DNA tersebut. Chelsea memang mahu mengubah pasukan mereka agar seiring dengan bola sepak moden pada hari ini.

Ianya diakui mereka sendiri sebelum ini, namun keutamaan Chelsea tetap piala.

Sifirnya adalah: Bentuk segera DNA dan berikan kejayaan segera.

Sarri sebelum ini berjaya melakukannya pada selekoh akhir dengan kejayaan Liga Europa. Namun Sarri memutuskan untuk meninggalkan Chelsea. Lebih kepada tekanan yang terlalu tinggi dari pemilik.

2. Membangunkan pemain dengan caranya

Chelsea memiliki reputasi di mana pemilik kelab kerap memihak kepada pemain apabila ada berlaku penentangan di bilik persalinan.

The Athletic melaporkan, salah satu sebab Lampard mulai merasakan tekanan kerana tidak sehahuluan dengan beberapa pemain dalam ke Chelsea.

Tuchel memiliki pendekatan yang sama dengan Lampard dari segi pemilihan pemain. Beliau tidak memilih status pemain untuk beraksi.

Namun jika Tuchel dapat menaikkan motivasi berpasukan, ini bukan masalah besar kerana Chelsea memiliki kualiti skuad yang sangat baik.

3. Tak takut dengan pengurusan tertinggi

Oleh kerana Tuchel merupakan seorang yang sangat jelas dengan ideanya, beliau ada reputasi tidak takut mengkritik pengurusan tertinggi sekalipun.

Di Borussia Dortmund, beliau tidak begitu sehaluan dengan CEO pasukan Michael Zorc yang menurutnya kerap campur tangan dalam pengurusan pemain. Misalnya menjual dan membeli pemain tanpa memberikan kuasa penuh kepada pengurus.

Beliau tidak sehaluan dengan Zorc yang menjual beberapa pemain penting untuk ‘backbone’ pasukannya.

Ianya bermula dengan penjualan Ilkay Gundogan ke Manchester City dan Mats Hummels ke Bayern gara gara pengurusan tertinggi gagal memuktamadkan kontrak baharu.

Tuchel pada masa itu sudah mengambuk dengan pengurusan Dortmund kerana Zorc dan Watzke sudah berjanji tak akan menjual mana mana backbone pasukan.

Seterusnya Tuchel meminta 3 pemain pengganti, malangnya beliau kehilangan Ousmane Dembele ke Barcelona. Hanya beberapa hari selepas Zorc mengisytihar pemain itu tak akan dijual pada sebarang harga.

Pada 2016, Tuchel bergaduh dengan Sven Mislintat, yang sebelum ini mengesan bakat seperti Robert Lewandowski dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Tuchel kecewa kerana Mislintat antara punca kenapa mereka gagal mendapatkan Oliver Torres.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila insiden letupan bas. Uefa mengarahkan Dortmund bermain sehari selepas kejadian itu. Tuchel meminta kelab untuk menarik diri daripada perlawanan tersebut, walaupun berisiko digantung penyertaan.

Namun BvB enggan menyokong idea Tuchel. Dalam laporan DW pada Mac 2018, Tuchel mengakui ianya antara sebab kenapa beliau letak jawatan. Kerana dia merasa bersalah dengan terpaksa mengarahkan pemain yang masih trauma turun ke padang.

Ketika di PSG Tuchel dipecat selepas tidak sehaluan dengan Pengarah Sukan Leonardo. Tuchel mengkritik Leonardo yang melepaskan 2 pemain senior, Cavani dan Thiago Silva tanpa membawa masuk pengganti.

Dengan agak panjang lebar point ketiga ini, bermakna Roman Abramovich pastinya sedar siapa yang mereka mahu lantik sekarang ini.

Sebelum ini pengurus seperti Maurizio Sarri dan Antonio Conte serta Jose Mourinho yang pernah lantang mengkritik pengurusan tertinggi, kesemuanya tidak kekal lama.

Rumusan

Kami tetap berpendapat Tuchel masih calon terbaik untuk Chelsea berdasarkan situasi semasa.

Dan Chelsea bukanlah pasukan yang risau tentang permainan lantik dan pecat. Kerana mereka sudah melakukannya kerap sekali pada era Roman Abramovich.

Formula yang sama yang membawa piala seperti EPL, UCL dan UEL ke Stamford Bridge.

Agak ironi, UCL dan UEL mereka dicapai dengan pengurus interim selepas pemecatan.