Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner bakal diberikan surat tunjuk sebab oleh pihak pengurusan susulan prestasi pasukan yang semakin merosot dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas mengharungi perlawanan, TFC hanya mengutip 4 mata hasil daripada satu kemenangan dan satu keputusan seri serta mengalami 3 kekalahan.

Memetik laporan daripada Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata surat tunjuk sebab diberikan kepada jurulatih kelahiran Croatia itu untuk menjelaskan kenapa mereka kehilangan 11 mata daripada lima perlawanan.

“Berkenaan dengan prestasi semasa pasukan dalam saingan Liga Super ketika ini, seperti kita sedia maklum pasukan TFC ketika ini tidak berada dalam prestasi yang memuaskan, selepas lima perlawanan kita tewas tiga kali, sekali seri dan satu kemenangan dengan hanya mengutip empat mata daripada 15 mata penuh.

“Seperti musim-musim lepas juga, pihak pengurusan melalui jawatankuasa teknikal telah menetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) buat pengendali pasukan dengan prestasi serta sasaran mata yang sepatutnya mereka peroleh.

“Jadi dengan prestasi semasa, pengurusan kelab bakal mengeluarkan surat buat pengendali pasukan untuknya memberi penjelasan berkenaan prestasi semasa dan menanti surat balas agar segala kekurangan dan permasaalahan dapat diselesaikan segera.

“Bagaimanapun kami tegaskan keadaan masih terkawal dan harus diingat kita baharu sahaja menghadapi lima perlawanan dan kita masih ada 21 baki perlawanan liga, masih ada saingan Piala FA, Piala Malaysia dan juga Piala AFC, apapun boleh terjadi dan kita harus yakin dengan apa yang direncanakan oleh pengendali pasukan ini,” katanya.

Tomislav bukanlah jurulatih pertama yang diberi surat tunjuk sebab kerana musim lepas Nafuzi Zain turut mengalami situasi yang sama selepas pasukan itu mengalami kekalahan berturut-turut.

Nafuzi menegaskan perkara tersebut merupakan satu lumrah dalam bola sepak apatah lagi ketika pasukan tidak menampilkan prestasi terbaik.

Namun pada musim ini, para penyokong setia TFC jelas tidak berpuas hati dengan jentera serangan pasukan tersebut yang dilihat lebih tumpul berbanding musim lepas.

Walaupun diperkuatkan oleh penyerang Thailand, Adisak Kraisorn, Sony Norde serta Ivan Mamut,  TFC hanya mampu menjaringkan dua gol selepas mengharungi 5 perlawanan Liga Super.