Penyerang Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva terus menarik perhatian media eropah apabila sebuah portal dari Perancis, 20 Minutes berkongsi kisah mengenai kejayaannya dalam saingan Liga Malaysia.

Penyerang Brazil itu muncul antara penjaring terbanyak dunia apabila mencatatkan rekod purata jaringan melebihi bintang terkemuka seperti Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Robert Lewandowski pada 2022.

Sky Sports Italia meletakkan Bergson sebagai penjaring dengan purata jaringan tertinggi — 1.27 gol untuk setiap perlawanan.

Bergson yang turut ditemubual berkata dia tidak pernah terfikir untuk mencapai kejayaan ini dan perkara ini adalah bonus buatnya untuk duduk sebaris dengan nama-nama besar namun ianya masih belum cukup buatnya.

“Saya sedikit terkejut apabila mengetahui tentang statistik jaringan tersebut. Saya tidak pernah terfikir akan mencapai sehingga tahap ini. Tambahan pula berada sebaris dengan nama-nama besar tetapi jaringan itu tidak cukup kerana kami mewaklili salah satu daripada kelab terbesar di Asia,” kata Bergson dalam 20 Minutes.

Dia turut mengakui bahawa kini dia sedang melalui fasa terbaik dalam dirinya terutamanya apabila mendapat sokongan penuh daripada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan dia menganggap itulah rahsia kejayaannya.

Bergson sememanganya antara penyerang import yang paling berbisa dalam Liga Malaysia ketika ini apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.

Ini adalah rekod baharu Liga Super mengatasi rekod terdahulu dihasilkan oleh Ifedayo Olesegun dengan 26 jaringan ketika masih bersama Selangor FC pada musim 2021.

Musim 2021, Bergson juga berjaya menyamai rekod lama milik bekas penyerang import TRW Kelantan dari Lubnan, Mohamed Ghaddar sebanyak 23 gol.

Beliau juga turut membuktikan ketajaman dalam saingan AFC Champions League (ACL) apabila meledak 6 gol. Semua jaringan itu dihasilkan di peringkat kumpulan ACL selain empat gol lagi dihasilkan di dalam pertandingan Piala FA.

Rekod itu meletakkan Bergson di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak ACL bersama pemain Urawa Red Diamonds, Yusuke Matsuo. Kedua-duanya berada di bawah pemain bintang Al-Duhail SC, Edmilson Junior yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak ACL 2022 dengan 8 gol.

Secara keseluruhan, Bergson menjaringkan 46 gol dari 36 perlawanan ketika membantu Harimau Selatan meraih empat kejuaraan trofi domestik dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC.