Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyeru pihak yang bertanggungjawab mengendalikan bola sepak negara meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh laman sosial Pahang FA, beliau menyokong pembatalan saingan Liga Malaysia musim ini setelah Kementerian Kesihatan Malaysia tidak mengalakkan perjumpaaan atau perhimpunan ramai sekurang-kurangnya  6 bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Penangguhan semua acara bola sepak untuk tahun ini adalah jalan terbaik yang membantu keresahan dan kegelisahan semua yang terbabit di dalam industi bola sepak negara.

“Insya-Allah kita boleh kembali semula pada tahun hadapan dengan semangat dan iltizam yang baru untuk terus memeriah dan memartabatkan sukan bola sepak negara.

“Bersama-samalah kita meningkatkan kesabaran dan sentiasa berdoa kehadrat Allah SWT supaya kita terus diberi kekuatan serta perlindungan olehNya di dalam mengharungi ujian yang luar biasa ini.

“Justeru, dengan mengambil kira semua pandangan dan keadaan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, termasuk negara ini, saya berharap supaya pihak yang mengendalikan bola sepak negara ini dapat membuat keputusan segera mengenai semua kalendar acara bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Abdul Rahman turut mengambil peluang untuk berkongsi pandangan tentang perkembangan terkini bola sepak negara di kala dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Saya mengikuti rapat semua pandangan dan perbahasan mengenai keberadaan semua pertandingan bola sepak di dalam negara termasuklah Liga Malaysia, Piala Malaysia, Piala FA, Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Kebangsaan.

“Saya percaya semua pandangan yang dilontarkan adalah dibuat di atas keprihatinan dan semangat kebersamaan supaya pihak yang bertanggungjawab di dalam pengendalian bola sepak negara dapat membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Tiada siapa yang boleh menjangkakan bila pengakhiran kepada wabak ini malah saya difahamkan bahawa pakar yang terbabit dalam kajian penyakit ini juga menjangkakan penemuan vaksin ini hanyalah dapat diperolehi seawal-awalnya dalam masa 12 bulan.

“Justeru, dengan mengambil kira semua pandangan dan keadaan pandemik ini di seluruh dunia termasuk negara ini, saya amat berharap supaya pihak yang mengendalikan bola sepak negara ini dapat membuat keputusan segera,” jelasnya.

Selepas mengharungi 4 perlawanan Liga Super musim ini, Pahang menghuni dalam kelompok tiga teratas apabila mengutip 6 mata hasil daripada 2 kemenangan ke atas Sabah dan Melaka United.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini. 

Mungkin Ini 4 Pilihan Perjalanan Liga Malaysia Musim 2020, Piala FA Dapat Lebih Prioriti Berbanding Piala Malaysia.

COVID-19: Liga Malaysia Mungkin Diteruskan Tetapi Dengan SOP Baharu

Aidil Zafuan Tegaskan Belum Ada Penyerang Miliki Kualiti Seperti Khalid Jamlus