Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis baru-baru ini mendedahkan dalam rancangan bual bicara radio dengan Radio Kiss Kiss, bahawa dia tidak dapat merealisasikan impian Kalidou Koulibaly ke Barcelona.

Ini kerana Catalan itu tidak mempunyai wang untuk membayar yuran perpindahan pemain tersebut.

Terdapat pelbagai laporan sepanjang musim lalu mengenai minat bek tengah asal Senegal itu untuk menyertai kelab Catalan itu. Xavi adalah peminat kepada gaya permainan Koulibaly yang merupakan bek tengah moden.

Blaugrana cuba bangkit dari musim yang cukup menyedihkan, setelah terlepas semua trofi. Mereka kini berusaha membina bahagian pertahanan untuk memastikan pasukan mereka lebih ampuh.

Jelas sekali bahawa Barça akan mencari bek tengah baharu walaupun telah menandatangani Andreas Christensen dari Chelsea.

Koulibaly adalah salah seorang pemain yang disebut dalam senarai panjang Xavi sebelum ini.

Koulibaly ketika itu menuju ke tahun akhir kontraknya. Dilaporkan berminat untuk ke Barcelona. Tetapi presiden Napoli meminta maaf kepada pemain itu kerana Barcelona tidak ada dalam senarai pertimbangan kelab kerana pokai.

Laurentiis berkata: “Koulibaly mahu pergi, saya memberitahunya: Saya tidak boleh menjual kamu kepada Barcelona kerana mereka tidak mempunyai wang.”

“Kemudian kami menerima tawaran daripada Chelsea, adalah mustahil untuk mengatakan tidak,” kata De Laurentiis lagi.

Presiden Napoli itu juga mendedahkan bahawa Koulibaly telah menetapkan fikirannya untuk pergi walaupun ditawarkan pembaharuan kontrak sebanyak €6.5 juta setiap musim tidak mengubah fikiran bek tengah berusia 31 tahun itu.

Walaupun gagal mendapatkan Koulibaly, Barcelona kini sedia untuk mendapatkan Jules Kounde. Pemain yang menjadi sasaran Chelsea. Barcelona meminta pemain itu menangguhkan segala proses rundingan dengan Chelsea buat masa ini, kerana mereka akan membuat bidaan rasmi dalam masa terdekat.

Seterusnya, meskipun Barcelona dianggap pokai, kerana beban hutang kelab yang tinggi, namun mereka setakat ini menjadi kelab ketiga berbelanja paling besar di belakang Manchester City dan Leeds United.

Bezanya, City dan Leeds sudah menjual pemain pemain mereka dengan harga tinggi. Barcelona masih bergelut untuk menjual pemain seperti Frenkie De Jong.