Presiden Fiorentina Rocco Commisso membidas Dusan Vlahovic dan ejennya selepas penyerang itu berpindah ke Juventus pada jendela perpindahan Januari 2022.

Vlahovic tampil dengan cemerlang di hadapan gol untuk Fiorentina musim ini. Membuatkan beliau menjadi sasaran banyak kelab terutama sekali Arsenal dan Juventus.

Vlahovic pada mulanya rancak dikatikan dengan Arsenal, akhirnya memilih untuk ke Juventus.

Penggempur yang baru berusia 22 tahun itu kini sah akan bersama dengan Juve dan memakai jersi no.7 yang sebelum ini dipakai oleh Cristiano Ronaldo.

Selepas Vlahovic berpindah, Commisso menuduh Vlahovic merancang untuk memusnahkan Fiorentina.

Menurutnya, Vlahovic secara rahsia sudah mengadakan perjanjian dengan seseorang kerana selalu menolak setiap kali tawaran lain masuk. Fiorentina memang mahu menjualnya pada Januari. Tetapi pemain itu berterusan menolak tawaran daripada pasukan lain yang masuk.

Ini termasuk tawaran dari Arsenal yang agak lumayan. Lantas ianya membuatkan Fiorentina merasakan bahawa pemain itu sengaja mahu pergi secara percuma ke sebuah kelab lain. Itu akan merugikan Fiorentina, sebaliknya menguntungkan Vlahovic dan ejennya dari sudut kewangan.

“Jelas sekali bahawa dia sudah mempunyai perjanjian dengan seseorang. Dia berkata tidak untuk setiap tawaran yang masuk.”

“Vlahovic mahu kekal sehingga kontraknya tamat dan memusnahkan Fiorentina.”

Commisso juga menganggap menjual Vlahovic dalam pasaran perpindahan musim sejuk kepada Juventus pada harga tinggi adalah keputusan yang tepat.

“Ejennya mahukan diskaun 10 peratus ke atas yuran perpindahan dan hak eksklusif untuk berunding langkah seterusnya. Mereka mahu memeras wang kami, jadi keputusan menjualnya sekarang adalah dasar yang wajar.”

Commisso juga melabelkan ejen Vlahovic sebagai penipu. Beliau berkata ejen itu cuba menggunakan kelab itu untuk keuntungan kewangan mereka sendiri.

“Ejennya tidak jujur ​​dan pembohong,” tambahnya.

“Kami mengadakan pertemuan yang baik pada November lalu, saya menjangkakan tindak balas positif selepas itu dengan menandatangani kontrak baharu, bukannya dia meminta dua kali ganda,” jelas beliau.