Presiden FIFA Gianni Infantino akan hadir dalam final kedua Piala AFF 2022 yang akan menentukan juara sebenar.

Perkara ini awalnya disahkan oleh Pengerusi Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan pada Ahad lalu.

Tidak lama kemudian, Infantino memuat naik di Instagram bahawa dia akan memenuhi jemputan tersebut. Infantino menulis: 

“Sangat tak sabar rasanya untuk berada di Bangkok pada Isnin ini untuk Perlawanan Akhir @affmitsubishielectriccup antara Thailand dan Vietnam, dan bertemu ramai rakan di Persekutuan Bola Sepak ASEAN dan AFC.”

“Di  FIFA, kami berazam untuk menjadikan bola sepak benar-benar global dan Asia Tenggara, yang saya sukai dan tempat yang pernah saya kunjungi, adalah sebahagian penting dalam peta bola sepak global masa depan!”

“Masih banyak lagi yang akan datang – nantikan…”

Aksi kedua Piala AFF 2022 akan berlangsung pada malam Isnin. Selepas aksi pertama antara Vietnam dan Thailand berkesudahan seri 2-2 di My Ding, Hanoi, Vietnam.

Pada aksi kedua, Vietnam perlu menang atau seri lebih daripada 2 gol. Jika tidak, mereka akan tersingkir secara agregat atau dengan peraturan gol di tempat lawan.

Jika perlawanan berakhir 2-2 di Thailand, maka aksi akan diheret ke masa tambahan 30 minit. AFF tidak menggunakan sistem gol di tempat lawan lagi untuk aksi 30 minit masa tambahan.

Presiden FIFA akan hadir menjadi tetamu kehormat dalam aksi final Piala AFF yang akan dilangsungkan di Thailand.

Bukan itu sahaja, Gianni Infantino juga akan diberikan penghormatan untuk menyampaikan trofi dan medal kepada pemenang.

Sebagai tambahan, Piala AFF 2022 tidak berada dalam kalendar ataupun agenda FIFA. Oleh sebab itu ada beberapa pemain bintang tidak dapat beraksi pada final kali ini kerana tidak dilepaskan kelab masing masing.

Antaranya bintang utama Thailand, Chanathip Songkrasin. Vietnam turut kehilangan Nguyen Cong Phuong atas sebab yang sama.