Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Sao Sokha menegaskan beliau akan meletakkan jawatan sekiranya negara tersebut gagal untuk melayakkan diri ke separuh akhir temasya Sukan SEA 2023.

Beliau membuat janji tersebut selepas melihat skuad kendalian Ryu Hirose itu hanya mencatatkan keputusan seri pada aksi kedua bertemu Filipina, kelmarin.

Kemboja mendahului pada minit ke-26 menerusi jaringan Ky Rina tetapi Dov Carino memastikan satu mata turut dikongsi Filipina hasil gol pada minit ke-93.

Terdahulu, negara tuan rumah bagi edisi ke-32 tersebut memulakan aksi dengan cemerlang selepas menundukkan Timor Leste 4-0.

“Sejak Kemboja dianugerahkan tugas untuk menjadi tuan rumah sukan ini, saya telah menghabiskan masa lebih sedekad untuk persiapan bagi menghormati negara melalui bola sepak.”

“Sekiranya pasukan gagal untuk layak ke separuh akhir, saya akan meletakkan jawatan sebagai Presiden FFC dengan serta-merta.”

“Jika ini yang berlaku, saya akan membuat permohonan kepada jawatankuasa eksekutif dan Sekreteriat Agung FFC untuk mengadakan mesyuarat agung bagi melantik pengganti saya.”

“Saya akan memohon maaf kepada setiap peminat bola sepak di negara ini atas ketidakmampuan saya untuk memimpin pasukan ini ke arah kejayaan,” ujar Sao Sokha menurut sumber laporan dikeluarkan The Phnom Penh Post.

Pada saingan kali ini, Kemboja diletakkan dalam kumpulan A bersama Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Lawan seterusnya yang akan dihadapi oleh mereka ialah Myanmar pada 7 Mei nanti di Stadium Olimpik, Phnom Penh.

Sukan SEA 2023 nyata memberikan manya yang cukup besar buat Kemboja kerana ia merupakan kali pertama negara tersebut dipilih sebagai tuan rumah temasya dwi-tahunan ini.