Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Sao Sokha mengumumkan peletakan jawatannya serta-merta selepas skuad Kemboja B-22 tewas 0-2 kepada Myanmar pada aksi ketiga kumpulan A Sukan SEA 2023 semalam.

Beliau membuat janji tersebut selepas melihat skuad kendalian Ryu Hirose itu hanya mencatatkan keputusan seri pada aksi kedua bertemu Filipina, kelmarin.

Ia dianggap sebagai kekalahan memalukan apatah lagi Kemboja memiliki kelebihan sebagai tuan rumah serta mempunyai sokongan padu daripada rakyat negara itu.

Keputusan itu bermakna peluang Kemboja untuk beraksi di peringkat separuh akhir semakin tertutup kerana mereka bakal berdepan pasukan Indonesia yang telah mengutip 9 mata maksimum tanpa kalah setakat ini.

“Selepas tewas dalam perlawanan Kumpulan A di temasya Sukan SEA, saya menunaikan janji saya bagi menunjukkan rasa bertanggungjawab.

“Saya ingin mengumumka peletakan jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja dan menyerahkan tugas ini kepada Khiev Sameth sebagai pemangku Presiden mulai sekarang.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat mengharumkan nama negara melalui perlawanan bola sepak sekiranya Kemboja menjadi tuan rumah,” kata Sao Sokha menerusi laman facebooknya.

Dalam perlawanan itu, Myanmar mendahului 2 gol di separuh masa pertama menerusi jaringan pemain Selangor, Hein Htet Aung dan Thet Hein Soe.

Bagaimanapun, skuad kendalian Keisuke Honda itu buntu mencari jaringan penyamaan walaupun bangkit melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol Myanmar di separuh masa kedua.

Sukan SEA 2023 nyata memberikan makna yang cukup besar buat Kemboja kerana ia merupakan kali pertama negara tersebut dipilih sebagai tuan rumah temasya dwi-tahunan ini.

Namun, mereka tetap berdepan kesukaran untuk mendapatkan tiga mata maksimum walaupun diundi dalam kumpulan yang mudah tanpa kelibat 3 pasukan kuat seperti Thailand, Vietnam dan Malaysia.