Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin sempat memberi pesanan kepada pasukan Harimau Malaya B-23 kendalian Brad Maloney menjelang aksi terakhir Kumpulan B Sukan SEA 2021 bertemu Kemboja petang ini.

Walaupun sudah mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir, namun Malaysia masih mempunyai satu lagi tugasan untuk memastikan status sebagai juara kumpulan B dengan menewaskan skuad kendalian Keisuke Honda itu.

Selepas terikat 2-2 pada perlawanan menentang Singapura kelmarin, Datuk Haji Hamidin menuntut skuad negara mempamerkan persembahan yang lebih fokus dan disiplin tinggi ketika bertemu Kemboja.

“Mentaliti sang juara perlu sentiasa bersedia. Tidak kira siapa lawan kita nanti, kita harus tunjukkan karakter sebenar Malaysia di mana kita tidak pernah takut untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Lupakan segera momen ketika menentang Singapura, tutup dan buka buku baharu. Paling mustahak pemain-pemain harus bangkit kembali dengan menunjukkan mentaliti pemenang sejati,” kata Datuk Haji Hamidin melalui kenyataan rasmi di laman facebook FAM.

FOTO: FAM

Satu lagi slot separuh akhir turut menjadi rebutan antara dua pasukan iaitu Thailand dan Kemboja namun skuad kendalian Alexandre Polking itu mempunyai kelebihan ke atas Kemboja.

Untuk mara ke separuh akhir, Thailand hanya perlu mencatat keputusan seri ketika berdepan Laos malam ini. Sekiranya tewas terhadap Laos, Thailand masih berpeluang untuk mara sekiranya tidak tewas dengan lebih daripada lima jaringan.

Malaysia akan bertemu Indonesia di peringkat separuh akhir jika berjaya dinobatkan sebagai juara kumpulan B petang ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Tiket Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Sudah Mula Dijual

Sukan SEA 2021: Malaysia Kejutkan Thailand Di Saat Akhir

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil