Seperti yang kita semua ketahui, penyerang utama skuad bawah 18 tahun Malaysia (B-18), Luqman Hakim serta tiga lagi rakan sepasukan daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini sedang menyertai program latihan bersama kelab Jepun, Cerezo Osaka.

Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang.

Difahamkan Luqman bersama 3 lagi pemain iaitu Harith Haiqal, Muhammad Firdaus Kaironissam dan Ali Imran Sukari telah berlatih bersama skuad bawah 18 tahun yang juga merupakan pasukan remaja elit Cerezo Osaka selepas lebih seminggu berada disana.

Salah seorang daripadanya dikatakan telah berjaya memikat barisan kejurulatihan kelab tersebut. Menurut laporan daripada Stadium Astro, Presiden kelab bola sepak Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima, mengakui berminat untuk mendapatkan khidmat salah seorang daripada empat pemain muda itu.

Namun begitu, Morishima tidak mendedahkan siapakah pemain yang dimaksudkan kerana beliau mahu meneliti laporan ujian mereka yang dikeluarkan selewat-lewatnya minggu hadapan sebelum membuat sebarang keputusan rasmi.

“Peluang itu ada dan kami masih memantau prestasi mereka. Mereka masih menjalani latihan dan mempunyai peluang,” katanya kepada pihak media.

Pada dasarnya, 3 kelab yang patut menjadi sasaran utama pemain muda Malaysia jika berminat untuk mengembangkan kerjaya dalam saingan bola sepak Jepun ialah Gamba Osaka, Cerezo Osaka dan FC Tokyo. Ini kerana tiga kelab ini mempunyai pasukan bawah 23 tahun (B-23) yang beraksi dalam saingan J3 League.

Sudah pasti bukan mudah untuk seseorang pemain bagi menyesuaikan diri dengan perbezaan gaya permainan, cuaca 4 musim dan komunikasi sebagai contoh utama yang mungkin sedikit melambatkan penyesuaian kedalam pasukan utama.

3 buah kelab itu boleh memberikan satu peluang kepada pemain untuk beraksi dengan pasukan B-23 mereka dalam saingan J3 League.

EDoIDm2VAAEqukb (1)
4 Pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dipilih berlatih bersama Cerezo Osaka. FOTO: NFDP

Sekurang-kurangnya, jika pemain itu tidak berjaya merebut tempat dalam pasukan utama yang beraksi di J1 League, mereka masih memiliki tempat untuk membuktikan keupayaan mereka apabila beraksi di J3 League.

Minit permainan pemain-pemain muda ini adalah penting untuk terus memaksimakan keupayaan mereka, terutama dapat berhadapan dengan pemain profesional lain dalam saingan kompetitif sebenar.

Perkembangan mengenai pemain muda Malaysia yang dihantar ke Jepun boleh dibaca melalui pautan dibawah.

Luqman Hakim Berlatih Bersama Skuad Akademi Bawah 18 Tahun Cerezo Osaka?

6 Pemain Muda Malaysia Berguru Di Jepun Bersama Cerezo Osaka, FC Tokyo Dan JFA Academy

4 Sebab Mengapa Cerezo Osaka Adalah Pilihan Yang Bijak Untuk Luqman Hakim

Sumber